AZIZ M Osman.
AZIZ M Osman.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pengarah Aziz M Osman, 61, berasa bertuah menjadi pengarah terakhir yang dapat bekerjasama dengan seniman Allahyarham Wahid Satay dalam filem Senario XX yang dihasilkannya pada 2005 lalu.

Aziz berkata dia sangat mengagumi cara bekerja semua artis veteran dan bukan hanya arwah Wahid saja kerana mereka sudah dididik dengan tahap disiplin diri yang tinggi.

"Selain disiplin diri, artis-artis veteran dari Studio Cathay Keris dan Studio Jalan Ampas dulu sangat menghormati kedudukan pengarah ketika bekerja walaupun jarak usia yang jauh berbeza.

"Sepanjang di lokasi dan penggambaran Senario XX itu, Allahyarham Pak Wahid sangat menghormati saya sebagai pengarah dan memanggil saya dengan sebutan 'tuan pengarah' walaupun dia tahu nama saya, Aziz.

"Apa yang saya tahu, mereka (artis lama) memang sudah dididik dari dulu agar menghormati kedudukan kerusi pengarah itu dan situasi berkenaan sangat mengharukan saya," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya bagaimana dia berjaya memujuk Allahyarham ketika itu, Aziz berkata, memang dia yang meminta pihak penerbit, Grand Brilliance Sdn Bhd agar berusaha mendapatkan persetujuan daripada Allahyarham untuk membintangi Senario XX.

"Walaupun saya tahu ketika itu arwah Pak Wahid dah lama tidak berlakon dan menetap pula di Singapura, tapi watak Tok Ketua Penghulu itu memang saya nak dia yang lakonkan.

"Sudah rezeki saya, dia sudi menerima tawaran berlakon. Senario XX. Meskipun memang dia (arwah) gementar nak berdialog, tapi Allahyarham sangat komited pada tanggungjawabnya sebagai pelakon. Dia datang awal di set penggambaran untuk membuat persediaan diri," katanya.

Aziz berkata dia berasa sangat bersyukur dapat mengarahkan pelakon veteran berkaliber seperti arwah Wahid Satay yang mana filem Senario XX menjadi naskhah layar perak terakhir dibintangi seniman itu sebelum terus menyepi diri dari bidang lakonan.

Semalam, Allahyarham Wahid Satay atau nama sebenarnya, Abdul Wahid Ahmad dilaporkan meninggal dunia pada usia 93 tahun di kediaman anak keduanya akibat sakit tua dan sudah seminggu terlantar di rumah.

Allahyarham yang mula berlakon di Studio Cathay Keris Singapura pada 1957, pernah meledak dengan beberapa filem lakonannya seperti Sumpah Pontianak (1958), Che Mamat Parang Tumpul (1960), Badang (1962) dan Naga Tasik Chini (1966).

Allahyarham yang disifatkan seorang penyayang mempunyai enam anak dan mempunyai lebih 20 cucu.

Jenazah arwah selamat dikebumikan di Pusara Aman, Singapura selepas Zuhur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 6:06 PM