ALLAHYARHAM Wahid meninggal dunia pada usia 93 tahun.
ALLAHYARHAM Wahid meninggal dunia pada usia 93 tahun.
Norhayati Nordin


SENIMAN Allahyarham Wahid Satay, 93, seorang lagi legasi pelakon pada era Studio Cathay Keris di Singapura menghadap Ilahi, jam 8.30 pagi semalam akibat sakit tua dan sudah seminggu terlantar di rumahnya.

Berasal dari Riau, Indonesia dan lahir pada 1930-an, arwah mula membabitkan diri dalam karier seni pada 1950-an dan berjaya mengetengahkan bakat sebagai pelakon, penyanyi dan pelawak.

Lakonannya dalam filem Pontianak untuk watak utama pada 1957 sebagai penjual sate bukan saja berjaya melonjakkan nama arwah, namun dari situ juga dia mendapat jolokan nama pentas, Wahid Satay.

Apa pun, karier seni arwah terus mekar dan menyerlah ketika itu apabila terus mendapat tawaran filem lain seperti Sumpah Pontianak pada 1958, Che Mamat Parang Tumpul (1960), Badang (1962) dan Naga Tasik Chini (1966) yang berjaya mengekalkan popularitinya.

Bertubuh kurus, tinggi dan berwajah kacak, arwah cukup menepati kriteria sebagai hero filem ketika itu. Malah, lakonannya dalam Badang cukup diingati hingga kini dan ia adalah karya 'superhero' malar segar yang mantap.

Kalau di Hollywood pastinya bangga dengan Superman, Batman dan Iron Man, dunia perfileman Melayu pula kita ada Badang yang mengetengahkan Wahid sebagai teraju utama. Lakonan arwah dalam Badang memang bersahaja.

Wahid yang awalnya bekerja sebagai tukang cat di Studio Cathay Keris sebelum bertukar karier menjadi pelakon juga sememangnya ada bakat seni tersendiri. Namun, apa pun yang penting ada minat dan rezeki.

Bahkan, dengan bakat seni semula jadi itu Wahid memberikan komitmen terbaik dalam setiap lakonannya untuk menghiburkan masyarakat walaupun gaji bulanan sebagai residen artis diterima sebanyak RM600.

Jiwa anak seni sejati yang menebal di hati arwah mampu membuatnya bertahan lama dalam industri seni dan hiburan. Namun, kali terakhir arwah muncul membintangi filem ialah Senario XX sebagai Tok Ketua Penghulu arahan Aziz M Osman pada 2005 dan diterbitkan Grand Brilliance Sdn Bhd.

Menetap di Singapura bersama keluarganya, kisah kehidupan arwah umpama 'terpisah di seberang tambak'. Agak lama juga tidak mengetahui perkembangan dirinya selepas menyepi dan sudah tidak aktif dalam seni.

Justeru, berita pemergian arwah ke 'negeri abadi' pagi semalam amat mengejutkan industri hiburan. Sebutir lagi bintang sudah hilang. Ini kerana, karya seni arwah Wahid pada era Studio Cathay Keris masih dikenang hingga kini.

Arwah menghembuskan nafas terakhir di rumah anak keduanya dekat Teban Gardens Road, Singapura. Difahamkan, terdahulu arwah kehilangan isteri, Allahyarham Azimah Mohd Taib pada 1994.

Cucunya, Mahirah Mohd Yasin, 38, berkata, datuknya tidak bermaya dan hanya terlantar di katil sejak seminggu lalu.

Katanya, keadaan kesihatan arwah juga mula merosot beberapa hari selepas meraikan Aidilfitri lalu.

"Kami sekeluarga ada membawa arwah ke hospital bulan lalu kerana jangkitan kuman pada ibu jari kaki dan mengalami serangan jantung ringan," katanya memaklumkan arwah Wahid menghidapi penyakit jantung dan diabetes.

Allahyarham Wahid atau nama sebenarnya, Abdul Wahid Ahmad disifatkan seorang penyayang adalah bapa kepada enam anak dan mempunyai lebih 20 cucu.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Pusara Aman, Singapura untuk dimandikan dan diuruskan pengebumian pada jam 1 tengah hari semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 6:45 AM