Oleh Norhadiani Baharom

Umpama mentafsir sebuah lukisan abstrak, terlarut dibawa kembara jiwanya yang 'misteri'.

Tersimpan rapi tak pernah terbongkar sebelum ini, siapa menduga di sebalik kehebatan lakonannya, Shaheizy Sam mengalami 'komplikasi emosi' yakni pernah mengalami kemurungan, kesedihan dan amarah akibat terperangkap dalam watak-watak lakonannya.

Rahsia hatinya terbongkar sebaik penulis mengajukan soalan mengenai sifat sensitiviti dalam dirinya membentuk lakonan yang 'real' hingga penonton dapat merasai perasaan cinta apabila menonton filem cinta lakonannya.

Bahagia atau tidak berupaya menyebarkan rasa cinta di hati penonton sedangkan dalam realiti sebenar di usia 32 tahun, Sam masih belum bertemu cinta.

"Kerja saya ini menyakitkan diri saya, orang yang saya sayang dan orang yang menyayangi saya.

"Saya pernah dikaitkan dengan ramai pelakon wanita antaranya Nur Fazura, Nora Danish dan Yana Shamsudin. Pernah dikatakan panas baran. Kenapa saya dikaitkan sebegitu rupa? Mungkin kerana itulah yang orang nampak saya ketika di dalam skrin dan di set penggambaran," katanya kepada RAP.

Menurut Sam, dia tidak pernah menipu dalam lakonannya kerana baginya pelakon harus jujur dengan lakonan mereka.

Bagi Sam, walaupun lakonan, dia bermain dengan rasa dan harus merasai watak yang dibawakan.

"Rasa yang jujur itu saya aplikasikan dalam setiap lakonan atau lebih tepat rasa dijadikan sebagai 'method' dalam lakonan saya," katanya.

Melakonkan babak percintaan memerlukannya membina rasa cinta terhadap pelakon wanita yang menjadi kekasihnya dan sebaik tamat penggambaran menyedari bahawa semua itu hanyalah lakonan, adakah ia menyakitkan? Sam mengakui ia menyakitkan.

"Kadang-kadang rasa rindu. Malah kalau saya berlakon jadi gila, saya terpaksa merasakan diri saya benar-benar gila. Sama juga jika diberikan watak panas baran, saya kena rasa sikap panas baran itu dan saya percaya rasa itu kadang-kadang terbawa-bawa sehingga ke luar set penggambaran.

"Ia berbalik kepada kejujuran melakonkan watak itu dan saya tidak pernah menghadiri kelas untuk membuang segala perasaan yang saya sudah masukkan dalam diri saya ini. Inilah satu lagi kelemahan industri lakonan di sini di mana pelakon tidak disediakan kelas untuk memisahkan konflik identiti," katanya.

Menurut Sam, dia mungkin dilihat sebagai seorang yang gembira di layar lebar, hakikatnya di luar personalitinya berbeza daripada apa yang dilihat orang.

Proses menyembuh dan pengasingan karakter yang terperangkap dalam dirinya memerlukan Sam menghabiskan masa sendirian dengan menikmati percutian atau bersama keluarga selain melakukan perkara yang disukai.

Mahu bawa watak Tun Mahathir

Sam ketika ini sibuk mempromosikan filem Manisnya Cinta Di Cappadocia yang bakal ditayangkan pada 11 Disember ini.

Diarahkan Bernard Chauly, filem adaptasi nukilan Anis Ayuni itu diterbitkan bersama Red Films dan Global Station Sdn Bhd serta dibintangi pelakon hebat seperti Nur Fazura dan Lisa Surihani.

Turut ditampilkan khas, dua pelakon berpengalaman Faizal Hussain dan Sharifah Eja.

Bercerita mengenai wataknya sebagai Nazmi, ia bukanlah watak 'forte' apabila bercakap mengenai lakonan dalam filem.

"Filem ini bukan genre lakonan saya, tetapi saya memberikan persetujuan untuk terbabit kerana ia satu pengalaman baru selain sukar mengatakan tidak kepada Red Films. Ini kerana saya suka filem yang dihasilkan produksi itu.

"Bernard selaku pengarah antara satu lagi sebab utama saya bersetuju terbabit dalam filem ini. Saya menyukai karya filemnya yang hampir semuanya bersama Red Films.

"Sering membawakan watak utama yang seperti ada beban besar di bahu bimbang ia gagal ditanggung, sekali-sekali seronok dapat melakonkan watak pembantu seperti mana kepentingan Nazmi di dalam filem ini," kata adik kepada pelakon Zizie Ezette itu.

Bercerita mengenai impiannya dalam lakonan tahun depan, Sam mengharapkan dia diberi peluang melakonkan watak daripada karya biografi.

"Saya sudah melakonkan pelbagai watak dan saya mengharapkan tahun 2015 berpeluang berlakon dalam naskhah biografi. Saya teringin untuk membawakan watak ikonik seperti Tun Dr Mahathir kerana saya pasti kehidupan beliau dari zaman kanak-kanak sehingga menjadi pemimpin negara, menyusuri pengalaman hidup yang sangat menarik.

"Selain itu, watak yang pernah ditampilkan dalam filem sebelum ini, Leftenan Adnan. Saya mahu mencabar diri menjadi orang lain dan individu itu wujud.

"Saya yakin mampu melaksanakannya. Cuma perlu berikan saya sedikit masa untuk melakukan kajian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 7:10 AM