(DARI KIRI) Wan Sharmila, Nina Iskandar dan Syukri Yahaya
(DARI KIRI) Wan Sharmila, Nina Iskandar dan Syukri Yahaya
Ramlah Zainal


Gara-gara watak jahat bernama Husna lakonannya dalam drama bersiri Jangan Benci Cintaku yang bersiaran di Slot Akasia TV3, baru-baru ini, Niena Baharun dibenci penonton yang terkesan dengan lakonannya.

Malah, Niena yang hamil turut mendapat kecaman dan ugutan daripada netizen di laman sosial yang membenci watak Husna sehingga ke luar drama.

Justeru, tidak hairanlah ada segelintir artis yang mengaku berasa bimbang untuk melakonkan watak jahat kerana takut dibenci penonton atau netizen di media sosial.

Justeru, persoalannya di sini, adakah golongan artis wajar menolak watak jahat hanya gara-gara kecaman netizen?

Wan Sharmila

Saya tidak menolak untuk melakonkan watak jahat kerana dari dulu pun saya banyak buat watak sedemikian.

Kita juga tidak boleh nak buat apa jika dibenci penonton kerana watak dilakonkan. Saya berlakon watak jahat pun agar melekat di hati penonton dan berjaya menyampaikan mesej cerita itu.

Namun, jika penonton berasa benci dengan pelakon sehingga di luar drama, kita tak boleh nak buat apa pun.

Sebagai pelakon kita juga boleh membawakan watak lain untuk lakonan, seterusnya agar penonton melupakan watak jahat itu.

Ia terpulang pada penerimaan orang dan sepatutnya penonton kita tidak terlalu emosional dengan watak dalam drama dilakonkan.

Bagaimanapun, ia berbeza di luar negara, peminat masih boleh memuja artis yang melakonkan watak jahat dan tidak membenci pun artis itu?

Saya juga tidak melihat watak jahat akan beri imej buruk kepada pelakon kerana jika semua mahu melakonkan watak baik, siapa pula yang mahu melakonkan watak jahat?

Apapun, itulah harga yang perlu dibayar sebagai pelakon. Apa yang kita harapkan semoga peminat boleh membezakan antara realiti dan sekadar lakonan semata-mata.

Nina Iskandar

Jika penonton benci kita disebabkan watak, ia bermaksud watak lakonan kita menjadi dan kita mampu membawakan watak itu dengan baik.

Ia sebahagian daripada tanggung jawab sebagai pelakon.

Kita juga harus tahu hala tuju sebenar untuk memasuki industri lakonan sama ada untuk meraih perhatian ramai atau untuk mengembangkan bakat lakonan sedia ada.

Jika sekadar untuk mencuri perhatian penonton, ia memang merugikan kita sebagai pelakon.

Saya sendiri tidak akan menolak apa pun watak yang diberikan, mahupun watak baik atau jahat.

Sebagai pelakon, setiap watak mencabar diri dan memberi saya peluang untuk memperbaiki bakat sedia ada.

Bagi netizen yang masih menghukum walaupun drama itu sudah berakhir, sepatutnya mereka sedar pelakon hanya melaksanakan kerja mereka.

Syukri Yahaya

Saya tiada masalah melakonkan watak jahat dalam drama ketika ini.

Bagi saya, apabila orang benci watak dilakonkan ia membuktikan lakonan kita menjadi dan memberi kesan kepada penonton.

Pelakon juga tidak perlu bimbang dan takut kerana dia perlu percaya pada lakonannya.

Terus terang, saya sendiri pernah bawa watak jahat dan pernah dibenci penonton sebelum ini.

Tapi, Alhamdulillah, lama-kelamaan peminat tahu watak jahat itu adalah sekadar lakonan semata-mata, sekali gus orang menghargai lakonan itu

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Ogos 2018 @ 12:26 PM