Ejai (tiga dari kanan) dan Azzara Band.
Ejai (tiga dari kanan) dan Azzara Band.
Norhayati Nordin


Puchong: Komposer juga penyanyi utama Azzara Band, Ejai Aziz masih lagi berubat untuk memulihkan dirinya yang didakwa mengalami 'penyakit misteri' akibat di sihir sejak November, tahun lalu.

Ejai atau nama sebenarnya Mohd Azrizal Aziz, 35, berkata, dia belum pulih sepenuhnya dan masih berhadapan kesakitan itu, namun harus mengetepikannya demi semangat terus aktif dalam karier nyanyian bersama Azzara Band.

"Sebetulnya selepas berubat sebelum ini, saya sangat takut nak ke depan lagi. Tapi, memandangkan Azzara Band masih memerlukan saya walaupun pernah juga cakap dengan mereka agar mencari vokalis baharu.

"Saya cakap nak berhenti menyanyi, duduk belakang saja buat lagu dan bagi mereka (Azzara Band) yang nyanyikan. Namun, mereka tak nak dan tetap mahu saya terus menyanyi bersama Azzara Band," katanya kepada Harian Metro.

Semalam, Ejai bersama Azzara Band ditemui pada majlis pelancaran single Semaian Cinta, berduet kali kedua dengan Beby Acha yang sebelum ini pernah tampil menerusi lagu Jaga Jaga, dua tahun lalu.

Ejai berkata atas semangat kuat daripada kawan-kawan Azzara Band itu membuatkan dia akur untuk terus aktif menyanyi, selain sibuk menghasilkan lagu-lagu baharu.

"Walaupun masih tak pulih sepenuhnya, saya reda dengan ujian daripada Allah ini. Apatah lagi, kawan-kawan dalam Azzara Band masih perlukan saya bersama-sama dengan mereka," katanya.

Terdahulu, Ejai pernah mendedahkan dia terpaksa menanggung sakit di bahagian kemaluannya yang berasa panas setiap tengah malam, tepat jam 12 sehingga ke pagi selama tiga bulan akibat di sihir pada tahun lalu.

Katanya dia yang membuat pemeriksaan kesihatan penuh sebanyak enam kali di hospital berbeza bagi mendapatkan keputusan yang tepat, bagaimanapun dimaklumkan oleh doktor tidak menghidapi sebarang penyakit kronik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 12:41 PM