Amir bersama ahli kumpulan Ukays pada sesi rehearsal Kumpulan U.K’s di One Screen Studio, Taman Melawati. FOTO ASWADI ALIAS
Amir bersama ahli kumpulan Ukays pada sesi rehearsal Kumpulan U.K’s di One Screen Studio, Taman Melawati. FOTO ASWADI ALIAS
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi Amir U.K's menyarankan diwujudkan satu jawatankuasa bagi menyelaras penganjuran konsert yang berlangsung pada bulan sama serta bertembung sesama sendiri.

Amir yang akan beraksi bersama kumpulannya dalam Konsert U.K'S Reunion 25 Tahun di Istana Budaya pada 17 dan 18 Jun berkata, perkara ini akan memberi kesan terhadap penjualan tiket.

"Industri hiburan kita tidaklah sebesar mana. Jadi, memang patut ada jawatankuasa yang kena atur jadual persembahan konsert kalau perkara sebegini masih berlaku pada masa depan.

"Kami kini sedang giat buat persediaan menjelang konsert dan tak dinafikan isu ini menghantui fikiran. Namun, konsert ini perlu diteruskan demi peminat.

"Saya agak terganggu juga apabila melihatkan banyak konsert berlangsung pada Jun. Kalau diikutkan, kami yang terlebih dulu mendapat tarikh di Istana Budaya," katanya ditemui pada sesi latihan mereka di Studio One Scream, Taman Melawati, Hulu Klang, baru-baru ini.

Menurutnya, dia tidak menolak kemungkinan peralihan fasa pandemik ke endemik menyaksikan semua artis mengambil peluang mengadakan konsert selepas dua tahun tidak melakukannya.

"Ia satu perkara biasa, tapi perkara ini tak sepatutnya terjadi. Kita memang tak boleh nak halang apa yang berlaku. Apapun diakui timbul kerisauan bagaimana cara nak tarik penonton.

"Saya mengakui harga tiket konsert kami pun bukannya murah tapi ia berpatutan kerana lihatlah lokasi di mana ia berlangsung, bukannya tempat biasa.

"Sekarang terpaksa bersaing pada bulan yang sama pula. Penjualan tiket saya tak boleh nak kata memberangsangkan, namun masih berjalan. Boleh dikatakan setiap hari ada peminat bertanya dan beli," katanya.

Jun ini menyaksikan beberapa konsert termasuk U.K's akan berlangsung di ibu kota seperti Konsert Search Rockin' On Rooftop, Konsert Search Endemik, Datuk Hattan, Showcase Amal Keluarga Malaysia Artis Lagenda 3.0 dan Aina Abdul.

Amir berkata, dia bimbang sekiranya sambutan peminat terhadap konsert mereka hambar gara-gara perkara ini.

"Nanti kami pun tak boleh cari makan. Sudahlah tarikh bertindih, harga tiket pun boleh tahan. Kalau saya sebagai peminat pun pening juga nak pergi tengok mana satu.

"Jadi dari situ dah jejaskan penjualan tiket. Kita kalau buat sesuatu, mestilah kena ada untung. Perniagaan tetap perniagaan," katanya.

Selain Amir, U.K's yang dibarisi Denil (gitar), Olley (bass) dan Amirul (dram) akan menyampaikan sebanyak 25 buah lagu pada konsert selama dua jam itu.

Tiket konsert anjuran Mac Training Centre Sdn Bhd bersama RCD Concepts Sdn Bhd dijual pada harga bermula RM111 hingga RM999 dan boleh didapati menerusi laman web http://ilassptickets.com.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 5:20 PM