Adibah Noor
Adibah Noor
Ridzuan Abdul Rahman


   Kuala Lumpur: "Dalam jam 6 petang tadi arwah sesak nafas. Saya sempat ajar dia mengucap dan dia sangat okey. 

   "Selepas itu saya panggil doktor dan jururawat, kemudian sekejap itu saja dia dah tiada. Dia senang pergi,".

   Demikian kata pembantu peribadi Adibah Noor yang dikenali sebagai Tod berkongsi detik akhirnya bersama Allahyarham Adibah Noor.

   Tod yang sudah 17 tahun berkhidmat untuk Adibah berkata, keadaan Allahyarham hari ini okey sahaja.

   "Cuma kemoterapi kedua ini dia rasa macam seluruh badannya kebas. Dia tak larat sangat tapi pagi tadi (semalam) makannya okey dan semuanya okey.

  "Semasa dia menghembuskan nafas terakhir, saya berada diluar kerana doktor sedang buat rawatan kecemasan. Saya pun tak sangka dia akan pergi. 

   "Arwah baik dan sangat senang bekerjasama. Allahyarham menghidap kanser rahim dan menjalani pembedahan pada April lalu. Dia juga sempat dua kali buat kemoterapi dan semangatnya kuat," katanya.

   Sementara itu, jenazah Adibah dibawa pulang ke rumahnya di Keramat Permai sekitar jam 10.30 malam tadi bagi membolehkan keluarga dan rakan-rakan terdekat memberikan penghormatan terakhir. 

   Jenazah akan dibawa ke Masjid Al Ansar, Keramat jam 9 pagi untuk dimandi dan dikafankan seterusnya disolatkan.

   Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanah Keramat Permai sekitar jam 10:30 pagi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 12:56 AM