AWESOME Raja Lawak bakal ditayangkan di Awesome TV bermula Julai ini.
AWESOME Raja Lawak bakal ditayangkan di Awesome TV bermula Julai ini.
Affan Rostam


SEJAK diperkenalkan pada 2007, program realiti Raja Lawak dilihat berjaya melahirkan ramai pelawak serba boleh dalam industri hiburan tanah air.

Antara figura yang berjaya menempa nama sehingga kini ialah Nabil Ahmad, Jihan Muse, Johan, Zizan Razak, Sepahtu, Shiro, Zero dan ramai lagi.

Terbaru, program yang pernah mencetuskan fenomena itu kembali dengan jenama baharu iaitu Awesome Raja Lawak yang bakal ditayangkan di Awesome TV bermula Julai ini.

Awesome Raja Lawak dijangka akan mengembalikan kegemilangan program realiti komedi sebagaimana kejayaan Raja Lawak yang dahulunya banyak melahirkan pelawak versatil.

Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli berkata, jenama dan legasinya terbukti memberi impak positif kepada industri hiburan disamping kejayaan melahirkan nama-nama besar.

"Mengimbas kembali sejarah penerbitan Raja Lawak edisi pertama lebih 15 tahun lalu, jenama dan legasinya terbukti membawa impak dan sumbangan yang besar kepada industri hiburan kerana berjaya melahirkan ramai nama-nama berpengaruh menerusi pertandingan terbabit.

"Selepas bertahan selama tujuh musim dan melabuhkan tirai terakhir pada 2013, kini pertandingan popular ini dibawakan semula dengan evolusi baharu.

"Melihatkan kepada landskap pasaran kandungan kreatif, kami yakin dengan potensi hiburan komedi yang dilihat masih kekal relevan serta boleh diangkat ke satu aras yang lebih tinggi.

AZLEE antara juri yang ditugaskan.
AZLEE antara juri yang ditugaskan.

"Fokus kami dalam menerbitkan program-program seumpama ini adalah untuk melahirkan pelawak berkualiti sekali gus boleh digilap untuk menjadi pelapis kepada pelawak-pelawak komersial tempatan sedia ada," katanya.

Menurut Ezzan, dia berharap pencarian bakat bagi edisi 2022 pada kali ini mampu meneruskan legasi penganjuran sebagaimana tahun-tahun terdahulu.

Seramai enam pelawak terkenal tanah air yang terdiri daripada Jalil Hamid, Azlee Senario, Ajak Shiro, Atu Zero, Ali Puteh dan Mamak Puteh dilantik sebagai juri uji bakat dan akan bergilir-gilir untuk turun padang bagi mengadili sesi terbabit.

Selain itu, Chiwan dan Nizam Jentik-Jentik bakal memeriahkan suasana sebagai hos uji bakat.

Pada sesi uji bakat itu, barisan juri akan menilai calon peserta berdasarkan beberapa kriteria pemilihan seperti tahap kelucuan dan elemen jenaka dalam sesebuah persembahan, keaslian persembahan dan kreativiti, bakat dan kemahiran lakonan serta potensi peserta untuk diketengahkan sebagai pelawak terkenal.

Awesome Raja Lawak akan menjelajah ke empat buah negeri di seluruh Malaysia bagi mengadakan sesi uji bakat terbuka bermula 4 dan 5 Jun lalu di Berjaya Megamall, Kuantan, Pahang.

Ini diikuti Prangin Mall, George Town, Pulau Pinang esok dan Ahad, Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru, Johor (18 dan 19 Jun) dan terakhir di sekitar Lembah Klang yang akan dimaklumkan kemudian (25 dan 26 Jun).

Penyertaan adalah terbuka kepada warganegara Malaysia dan Singapura berusia 18 tahun ke atas serta bebas memilih untuk menyertai uji bakat secara solo, duo atau trio.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 6:43 AM