BARISAN juri Awesome Raja Lawak di Majlis Pelancaran Slot Program Sitcom Awesome TV. FOTO Eizairi Shamsudin
BARISAN juri Awesome Raja Lawak di Majlis Pelancaran Slot Program Sitcom Awesome TV. FOTO Eizairi Shamsudin
Affan Rostam


Petaling Jaya: Stesen TV, Awesome TV akan mengekalkan nama Raja Lawak dalam program realiti komedi terbaharu mereka, Awesome Raja Lawak yang sebelum ini ditayangkan di saluran Astro.

Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas berkata, jenama Raja Lawak itu sudah cukup kuat dan dikenali sebagai program realiti komedi dengan pengikutnya yang tersendiri.

"Kita kekalkan nama Raja Lawak itu sebab ia adalah satu jenama yang sudah kuat. Kalau kita pakai nama lain ia akan ambil masa lama untuk naikkan jenama itu. 

"Lagipun nama itu memang sangat sinonim dengan program pencarian pelawak baharu," katanya kepada Harian Metro.

Adam berkata, pihaknya mahu mengembalikan era kegemilangan program realiti komedi dengan menampilkan wajah-wajah baharu yang akan dipilih menerusi sesi uji bakat di beberapa negeri di samping menggunakan kekuatan jenama sedia ada itu.

"Kalau lihat rancangan realiti nyanyian di Malaysia dah terlalu banyak sedangkan rancangan realiti komedi dah lama tak ada. Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini kita hanya ada pelawak-pelawak yang sama sahaja. Jadi, saya rasa inilah masa yang terbaik untuk pelawak sedia ada mencurahkan ilmu mereka kepada pelapis baharu." katanya.

Selain itu, mereka juga dalam usaha mencari bakat yang bukan sahaja boleh melawak tetapi mampu menjadi pengacara, berlakon dan menyanyi selain menjanjikan slot rancangan buat mereka di masa akan datang.

Awesome Raja Lawak akan menjelajah ke empat negeri iaitu Pahang, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur bagi sesi uji bakat terbuka yang akan bermula Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 9:29 PM