KUMPULAN SODA memenangi Gelanggang Awesome Raja Lawak yang diadakan di De Showroom Studio. FOTO Eizairi Shamsudin
KUMPULAN SODA memenangi Gelanggang Awesome Raja Lawak yang diadakan di De Showroom Studio. FOTO Eizairi Shamsudin
Norhayati Nordin

Petaling Jaya: Kumpulan Soda dinobatkan juara program Awesome Raja Lawak (ARL) musim pertama, sekali gus membawa pulang trofi serta hadiah wang tunai RM50,000 yang berlangsung di De Showroom  Studio, malam tadi.

Naib juara pula menjadi milik kumpulan Se'eh yang membawa pulang trofi serta wang tunai RM25,000. Manakala, tempat ketiga dimenangi kumpulan Mabo yang menerima RM15,000 dan trofi.

Terdahulu, kumpulan Mabo menjadi peserta bertuah apabila selepas tersingkir, mereka diserap masuk semula secara 'wild card' sekali gus  dapat berentap di gelanggang akhir ARL bersama lima peserta lain iaitu kumpulan Se'eh, Sedare, Soda, Manja dan Azhar.

Bagi tempat keempat diraih oleh peserta solo lelaki, Azhar, tempat kelima, kumpulan Sedare dan tempat keenam, kumpulan Manja Masing-masing menerima hadiah berupa trofi.

Gelanggang akhir ARL yang bertemakan Bebas dan Muzikal itu diadili tiga juri profesional dibarisi pelawak otai, Saiful Apek, pelakon, Khir Rahman dan penyanyi, Ayda Jebat.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli. 

Turut hadir menyaksikan persembahan peserta akhir ARL ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Profesor Dr Md Nasir Ibrahim dan isteri.

Persembahan akhir ARL turut dimeriahkan dengan kehadiran alumni Raja Lawak seperti Tauke Jambu, Atu Zero, Ajak Shiro, Issey dan Ammar Titan. Sementara tanggungjawab pengacara digalas Chiwan dan Nizam Jentik Jentik.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 7:23 AM