Datuk Aznil Nawawi ketika pelancaran produk Eskayvie, i-Qids
Datuk Aznil Nawawi ketika pelancaran produk Eskayvie, i-Qids

Kuala Lumpur: Pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi mengingatkan setiap selebriti yang dilantik sebagai duta produk supaya mempunyai pengetahuan mengenai produk yang dipromosikan.

Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil berkata, golongan selebriti tidak seharusnya mengatakan produk yang diperkenalkan boleh menyembuhkan sesuatu penyakit.

"Saya tabik kepada Dr Rafidah kerana sekurang-kurangnya kita ada pemantau dan mata-mata. Bagaimanapun jangan hina artis kerana mereka perlukan sumber pendapatan dan dalam masa sama pengetahuan mengenai produk serta kesannya juga penting.

"Setiap artis yang bertindak sebagai duta atau mengeluarkan produk (khususnya suplemen kesihatan) tidak boleh mengatakan produk mereka boleh menyembuhkan sesuatu penyakit sebab akan menyebabkan pesakit tidak mahu jumpa doktor lagi.

"Saya yang kini bertindak sebagai duta suplemen kesihatan untuk syarikat Eskayvie Sdn. Bhd. selalu mengingatkan kepada orang awam supaya jangan tinggalkan ubat doktor dan temu janji hospital.

"Setiap individu tidak boleh culas soal ini. Ubat adalah benda yang menyembuhkan manakala suplemen adalah untuk mempercepatkan penyembuhan dan bukan menyembuhkan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk terbaharu Eskayvie, i-Qids, baru-baru ini.

Terdahulu Pakar Perunding Perubatan dan Nefrologi Hospital Putrajaya, Dr Rafidah Abdullah tampil menegur penyanyi dan pengarah, Mawi berhubung iklan promosi produk kesihatan.

Rafidah, menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya berkata, tindakan Mawi yang mendakwa ada ahli keluarganya telah merasai perubahan selepas meminum jus berkenaan adalah salah di sisi undang-undang.

Menerusi kenyataan sama di Twitter, Rafidah turut memuat naik iklan promosi produk minuman kesihatan berkaitan yang didakwa mampu mengurangkan masalah penyakit buah pinggang, kencing manis, darah tinggi dan kolestrol.

Dalam pada itu, Aznil memberitahu setiap selebriti yang dilantik menjadi duta produk perlu mempunyai pendirian dan pendapat tersendiri.

"Kalau saya memang pengguna tegar makanan tambahan dan suplemen, kerana saya sedar gaya hidup dan pemakanan seperti pengambilan sayur dan buah tidak mencukupi menyebabkan saya memerlukan nutrisi sokongan.

"Kalau saya bukan pengguna dan tak percaya dengan produk saya tak akan menjadi duta produk Eskayvie. Tambah pula, produk ini diformulasikan oleh Doktor Perubatan, Dr Syid Ayob yang pastinya arif berkenaan dos bahan aktif dan kesan setiap nutrisi yang disarankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 2:40 PM