AZNIL mahu kanak-kanak terus dilindungi dari segi tahap kesihatan mereka.
AZNIL mahu kanak-kanak terus dilindungi dari segi tahap kesihatan mereka.
Sudirman Mohd Tahir

PENGACARA dan personaliti popular tanah air, Datuk Aznil Nawawi menghormati pendirian serta hak mereka yang menolak divaksin atau disebut sebagai antivaksin.

Apatah lagi, Aznil, 59, atau mesra disapa Pak Nil berkata, pengambilan vaksin juga tidak diwajibkan kerajaan.

"Ia hak masing masing. Saya hormat. Daripada awal lagi kerajaan pun tak paksa sama ada nak ambil vaksin atau sebaliknya. Tapi, bila keluar dakyah salah bertentangan sains atau pelbagai propaganda daripada segelintir golongan berkenaan, itu yang tak menarik.

"Mungkin sebaiknya golongan itu tidak terlalu lantang di media sosial. Tapi, ia hanya pandangan rawak saya saja kerana zaman media sosial beraja ini ramai tegar bersuara," katanya.

Dalam masa sama, Pak Nil turut memberikan pandangannya mengenai kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum ini yang menyebut akan terus menyusahkan urusan golongan berkenaan.

"Pada pandangan saya, beliau bukan nak menghimpit golongan antivaksin. Sebaliknya merujuk kepada golongan yang tak nak divaksin, tetapi pada masa sama mengeluarkan dakyah salah untuk menakutkan orang ramai.

"Jadi, saya setuju jika golongan itu pegang pendirian mereka tak mahu divaksin tanpa mengeluarkan dakyah tertentu. Pendek kata hormat pendirian itu. Dalam masa sama, golongan itu hormati mereka yang memilih divaksin. Begitu sebaliknya," katanya.

Tambahnya lagi, Malaysia sudah mencapai 90 peratus populasi dewasa lengkap dos suntikan vaksin.

"Jadi, selebihnya iaitu 10 peratus lagi merujuk kepada golongan antivaksin, kanak-kanak dan mereka yang tak boleh divaksin atas faktor pelbagai termasuk kesihatan. Kita yang memilih vaksin ini jangan bermusuh dengan mereka. Kita cuba lindungi mereka. Majoriti akan menang melawan minoriti. Insya-Allah.

"Kita sudah bergelut melalui era Covid-19 ini. Cukuplah derita itu. Tak perlu kita tambah dengan pertelagahan prinsip mahu divaksin atau sebaliknya," katanya.

Dalam pada itu, pada usianya sekarang Pak Nil dilihat kekal menjaga tahap kesihatannya.

Malah, rezekinya sejak awal fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu turut diberi rezeki sebagai duta produk kesihatan, Eskayvie.

"Ketika PKP pertama, saya sendiri rasa hidup macam gelap. Kerja seni yang sudah dipersetujui pun ditunda, malah ada yang dibatalkan. Tapi, saya beroleh rezeki sebagai duta jenama produk itu. Malah, ada rangkaian produknya yang mempunyai testimoni sebagai penguat daya ketahanan diri selain alternatif melawan pelbagai virus termasuk Covid-19.

"Malah, saya juga ada meminta bekas penyampai radio Sinar FM, Najman Mohamed yang disahkan positif Covid-19 tahap empat mencuba. Alhamdulillah ikhtiar serba sedikit membantu dan pulih. Malah, pihak jenama produk ini juga membantu Najman menyelesaikan kos bil hospital atas paksi kemanusiaan," katanya.

Aznil yang ditemui pada sidang media pelancaran rangkaian produk Diffenz Junior keluaran Eskayvie khusus untuk kanak-kanak juga percaya golongan kecil itu juga wajar dilindungi.

"Apabila ada inisiatif pihak produk ini buat suplemen khusus untuk kanak-kanak mendapat perlindungan di musim pandemik, saya paling bersetuju. Apatah lagi ada golongan ini sudah kembali bersekolah secara bersemuka. Virus jahat ini kita tak nampak, jadi kena sentiasa berwaspada. Golongan dewasa sendiri pun boleh terdedah kepada perkara yang tak diingini, apatah lagi si kecil.

"Sebagai Ikon Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), saya sendiri teruja nak pusing sekolah bertemu mereka sambil bercakap soal perlindungan diri, ilmu dan menekankan kepentingan pengambilan vitamin C dan D," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 6:35 AM