PEGAWAI CPF JKNS menjalankan operasi penggeledahan di premis yang diserbu di Bangi, Selangor. Gambar kecil, produk ubat-ubatan tidak berdaftar yang dirampas.
PEGAWAI CPF JKNS menjalankan operasi penggeledahan di premis yang diserbu di Bangi, Selangor. Gambar kecil, produk ubat-ubatan tidak berdaftar yang dirampas.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Eksploitasi pendakwah terkenal, pelakon dan artis sebagai duta produk bagi melariskan jualan produk 'haram' menerusi platfom e-dagang.

Strategi pemasaran itu ternyata berjaya meyakinkan ribuan pengguna tanpa mereka menyedari produk suplemen kesihatan dibeli tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengarah Kesihatan negeri Selangor, Datuk Indera Dr Sha'ari Ngadiman berkata, aktiviti menjual produk suplemen kesihatan tanpa kelulusan itu diambil tindakan oleh Cawangan Penguatkuasaan, Bahagian Perkhidmatan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (CPF JKNS) hasil serbuan ke atas sebuah premis perniagaan, semalam.

Menurutnya, pihaknya terlebih dahulu menjalankan risikan susulan laporan terhadap penjualan produk tidak berdaftar berkenaan secara atas talian.

"Serbuan membabitkan pemeriksaan mengejut terhadap sebuah premis di Bangi, Selangor.

"Hasilnya, sejumlah 329 jenis produk suplemen kesihatan yang sebahagiannya diperoleh dari luar negara dan tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) KKM dirampas.

"Semua produk itu dianggarkan bernilai RM295,000 mengikut harga pasaran.

Siasatan awal mendapati produk itu diiklankan melalui platform e-dagang terkenal di negara ini dengan tuntutan palsu kononnya ia berdaftar dengan KKM," katanya.

Difahamkan produk suplemen dipasarkan itu didakwa boleh menyembuhkan pelbagai penyakit membabitkan jantung, kolesterol, kencing manis dan bermacam penyakit lain.

Turut ditemui pelbagai produk ubat-ubatan dibawa masuk dari luar negara dan tidak berdaftar.

Beliau berkata, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Peraturan7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah & Kosmetik 1984. Jika sabit kesalahan, pemilik premis boleh dikenakan hukuman iaitu denda tidak melebihi RM25,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali mengikut Akta Jualan Dadah 1952.

"JKNS menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati sewaktu membeli apa-apa produk kesihatan dan kosmetik yang dijual secara atas talian serta memastikan produk kesihatan dan kosmetik yang dibeli di pasaran mematuhi keperluan undang-undang yang dikuatkuasakan.

"Semakan kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik boleh dibuat dengan melayari www.npra. moh.gov.my atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400," katanya.

Menurutnya, sebarang aduan berkaitan produk-produk meragukan boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov. my atau menghubungi talian 03-78413200 supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk ini di pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2022 @ 8:01 AM