AZNIL bersyukur pada usia 60 tahun dia masih menerima pelbagai tawaran termasuk menjadi duta produk.
AZNIL bersyukur pada usia 60 tahun dia masih menerima pelbagai tawaran termasuk menjadi duta produk.
Najiy Jefri


SIAPA sangka pada usia 60 tahun pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi masih mendapat pelbagai tawaran termasuk dilantik sebagai duta.

Bersyukur di atas setiap rezeki diterima, Aznil mengaku dia mempunyai cara tersendiri untuk memenangi hati pelbagai pihak yang menawarkannya kerja.

"Saya akan beri lebih daripada apa yang saya tandatangan (kontrak). Kalau artis lain apabila minta kerja lebih, mereka akan katakan bukan dalam kontrak dan yang bercakap bukan artis itu tapi sama ada peguam atau pengurus.

"Walaupun kadangkala mereka tidak minta lebih daripada apa yang dipersetujui, tapi entahlah saya memang daripada dulu begini.

"Sejak zaman bergelar wartawan sehinggalah sekarang ini saya dilantik sebagai duta suplemen kesihatan untuk syarikat Eskayvie Sdn Bhd, saya ambil inisiatif untuk menghadiri mesyuarat pengurusan untuk membantu produk ini lebih maju ke depan," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk terbaharu Eskayvie, i-Qids, baru-baru ini.

Disebabkan komitmen dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi selama tiga tahun bersama produk itu, Aznil memberitahu dia turut dihadiahkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard.

PAK NIL terus terima pelbagai tawaran dan undangan meskipun pada usia senja.
PAK NIL terus terima pelbagai tawaran dan undangan meskipun pada usia senja.

"Majlis yang berlangsung awal tahun ini sebenarnya untuk menghargai stokis dan ejen mereka tapi saya menerima kejutan luar biasa apabila Pengarah Urusan Eskayvie, Kartika Wati Mohamed menghadiahkan saya sebuah Toyota Alphard.

"Inilah yang dinamakan rezeki dan saya sangat bersyukur apabila mereka sentiasa menerima idea dan setiap penambaikan mengenai produk supaya peranan duta tidak hanya terhad kepada mempromosi semata-mata," katanya.

Dalam pada itu, Aznil yang mesra disapa Pak Nil turut ditanya mengenai perancangannya untuk berehat dalam industri seni memandangkan usianya kini sudah menjengah 60 tahun.

Kata Aznil, dia sememangnya mempunyai impian untuk berehat dalam industri seni, namun perkara itu tidak dapat dilakukan sekarang kerana kehadirannya masih diperlukan.

"Ia antara impian saya memandangkan umur pun sudah 'di penghujung'. Nabi Muhammad wafat ketika usianya 63 tahun, begitu juga dengan arwah ayah saya manakala abang saya juga pergi ketika usianya 65 tahun.

AZNIL bersama formulator produk terbabit iaitu Dr Syid Ayob Syid Mustafa Al Qudri dan Kartika Wati pada majlis pelancaran produk itu baru-baru ini.
AZNIL bersama formulator produk terbabit iaitu Dr Syid Ayob Syid Mustafa Al Qudri dan Kartika Wati pada majlis pelancaran produk itu baru-baru ini.

"Jadi saya ini ibarat sedang menghitung hari sebenarnya. Ada juga yang tanya saya tiada perancangan untuk bersara ke, cuma apa yang mampu saya katakan doakanlah saya dapat berehat dan bersara. Selain itu, saya juga kalau boleh nak tinggal di Makkah dan meninggal di sana," katanya.

Bercerita mengenai pelancaran produk i-Qids, Aznil mengaku dia begitu sinonim dengan kanak-kanak menyebabkan dia bersedia untuk berkongsi manfaat produk itu kepada mereka.

"Kita dah beralih ke fasa endemik jadi anak-anak sudah boleh kembali ke sekolah seperti biasa dan boleh buat pelbagai aktiviti.

"Kalau dulu, anak lebih banyak terperuk dalam rumah dan sering menghadap gajet sehingga tahap perkembangan IQ dan EQ mereka terbantu dan terganggu.

"Produk i-Qids ini mampu tingkatkan memori dan pembelajaran selain menyokong fungsi otak. Itu yang buatkan saya teruja nak melihat perkembangan memori dan pembelajaran mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 6:20 AM