Datuk Seri Siti Nurhaliza
Datuk Seri Siti Nurhaliza
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Best baca majalah dulu-dulu. Letak nama Siti Nurhaliza dan tulis mesra disapa Siti. 'Vibes' macam ni sangat dirindui. Tak adalah nak berTokti sana sini. 'Please respect' nama Siti Nurhaliza."

Itu antara komen peminat penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mengkritik segelintir pihak yang menyapa Siti dengan panggilan Tokti.

Malah, isu itu juga kecoh di Twitter apabila ia dibalas dengan komen dan pendapat sama daripada peminat Siti.

Siti, 43, berkata, sapaan yang diberikan itu bukanlah satu masalah besar buat dirinya.

"Kalau pasal nak panggil tu pun jadi masalah, susah jugak tu. Takpalah apa-apa punlah. Kak Iti boleh, Tokti boleh. Itu bukan satu masalah yang besarlah kan.

"Kadang benda tu lah yang terlalu remeh pun jadi besar. Sebab tu saya tak suka sangat 'carry' perasaan, 'carry' minda saya dalam Twitter punya isu. Komen sikit-sikit tu tak apalah. Kalau melampau saya senang saja, terus sekat," katanya.

Menurut Siti, dia kurang melayari Twitter berbanding Instagram dan jarang mengetahui isu atau kontroversi yang berlaku di Twitter berkaitan dirinya.

"Saya kurang berada di Twitter berbanding di Instagram. Ini kerana Instagram ni orang-orang dia lebih memahami dan hormat sikit berada di rumah orang.

"Jadi sebab itu saya jarang tahu sikit apa yang terjadi di Twitter. Apabila saya nak muat naik nak beritahu mengenai sesuatu, baru saya masuk.

"Tak adalah hari-hari asyik tengok apa orang cakap mengenai saya. Sebab tu kadang saya banyak terlepas di Twitter punya isu," katanya yang baharu dilantik sebagai duta Binary University baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2022 @ 12:27 PM