Datuk Seri Dr Wan Salim dan Datuk Siti Nurhaliza.
Datuk Seri Dr Wan Salim dan Datuk Siti Nurhaliza.
Mahaizura Abd Malik dan Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Permohonan maaf dibuat oleh Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, susulan teguran terbukanya terhadap Datuk Seri Siti Nurhaliza berkaitan tarikh penganjuran konsert yang bakal diadakan menjelang Ramadan nanti mengundang pelbagai reaksi netizen.

Tinjauan Harian Metro di laman sosial mendapati, rata-rata netizen bersetuju dengan teguran dibuat Wan Salim kerana menghormati pandangan mufti dan tanggungjawabnya dalam memberi peringatan berkaitan hal ehwal agama.

Mereka yang segelintirnya juga peminat Siti Nurhaliza turut menyokong (Wan Salim) dan mempersoalkan kewajaran Wan Salim memohon maaf sedangkan beliau mengeluarkan pandangan berkaitan hal yang benar.

"Sedihnya, mufti pula yang minta maaf. Ibarat ayah tegur silap anak tapi ayah yang kena minta maaf padahal tegur benda yang baik," tulis pengguna TikTok dikenali sebagai Aqil.

"Saya peminat tegar Tokti (Siti Nurhaliza) tapi bab agama maafkan saya Tokti, saya berpihak kepada mufti," tulis seorang lagi netizen dikenali sebagai Bell'ss.

"Kenapa mufti pula yang minta maaf? Teguran bab agama daripada mufti ini yang rakyat Malaysia perlukan, kenapa mufti yang kena minta maaf? Allah..?" tulis Ahmad Irfan di ruangan komen.

"Masih beruntung kita ini mufti tegur, ini kerana masih ada yang sayang dan menyedarkan kita, nak dengar atau tidak terpulang, bak kata orang kubur masing-masing," tulis netizen dikenali sebagai Norzila.

Bagaimanapun, segelintir netizen yang juga peminat Siti Nurhaliza nampak masih tidak bersetuju dengan teguran dibuat oleh Wan Salim hingga ada yang seolah-olah menyalahkan agamawan itu kerana membuat kenyataan secara terbuka sebelum ini.

Mereka juga dilihat membangkitkan isu penganjuran konsert kumpulan Coldplay yang mencetuskan kontroversi sebelum ini apabila mendapat tentangan segelintir pihak mengenai penganjurannya.

"Sepatutnya mufti kena adil juga, bila ada konsert dari luar negara, kena tangguh juga bukan setakat konsert Siti Nurhaliza saja," tulis netizen dikenali sebagai mysysam016_Official.

"Tak bolehkah tuan mufti tegur dalam suasana perbincangan tertutup, tuan tentu tahu sifat manusia, semua mahu jadi hakim, biarlah Allah saja yang tahu," tulis Lan Atok di TikTok.

"Bukan tak boleh tegur, konsert luar negara senyap saja, banyak yang rakyat Malaysia tak puas hati dengan orang ini," tulis azizannoordin2.

Terdahulu, media melaporkan, Siti Nurhaliza nekad untuk meneruskan penganjuran konsert 'Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza' yang dijadualkan berlangsung 9 Mac ini iaitu ketika umat Islam hampir menyambut Ramadan.

Menerusi kenyataan rasmi syarikat yang turut dinaungi Siti Nurhaliza iaitu Yayasan Nurjiwa, pihaknya menjelaskan tujuan utama konsert diadakan adalah bagi mengumpul dana untuk disalur kepada mangsa konflik di Palestin yang memerlukan bantuan segera.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan susulan teguran Wan Salim supaya Siti Nurhaliza menunda tarikh konsert bagi menghormati ketibaan bulan Ramadan.

Berikutan itu, Wan Salim pada kenyataan kelmarin, memohon maaf kepada Siti Nurhaliza dan Yayasan Nurjiwa kerana membuat teguran secara terbuka dan menimbulkan polemik yang tidak dijangka.

Menurut Wan Salim, beliau tidak sama sekali mempertikaikan mengenai niat atau tujuan di sebalik penganjuran konsert sebaliknya hanya fokus berkaitan tarikh penganjuran yang terlalu hampir dengan kehadiran Ramadan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 6:59 AM