Mira Filzah
Mira Filzah
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon Mira Filzah yang kini memasuki trimester terakhir kehamilan, mula mengalami simptom sakit belakang dan kaki yang semakin membengkak saban hari.

Mira, 29, yang popular menerusi drama Pujaan Hati Kanda berkata, kandungannya yang kini berusia lapan bulan menjadikan dia kerap berdepan masalah yang sinonim dengan ibu mengandung ini.

"Perkara ini sudah sering terjadi, namun ia bukan bermakna saya kena berehat kerana masih banyak komitmen kerja yang perlu diselesaikan. 

"Saya kena fokus pada karier terlebih dahulu sebelum bercuti bersalin selepas 5 April nanti," katanya ditemui pada program Women of Excellence Awards 2021/22 (WOEA 2021/22) yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka baru-baru ini.

Mira menerima anugerah Excellent Achievement Award In Entertainment Industry bagi segmen lakonan yang disampaikan oleh ibu mentuanya, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid.

Mira yang dijangka melahirkan anak pertamanya awal Mei berkata, persiapan untuk kelahiran anaknya juga belum siap sepenuhnya.

"Saya masih sibuk dengan kerja yang kadangkala bermula dari pagi hingga malam. Jadi saya banyak tempah baju anak secara online sahaja. 

"Dari segi persiapan mental saya tak banyak fikir sangat, namun ada juga bersembang dengan kawan mengenai proses bersalin dan sebagainya.     

"Selebihnya saya hanya berfikiran positif. Selepas bersalin saya akan berehat seketika untuk tumpukan pada pembesaran anak," katanya yang berkahwin dengan Wan Emir pada 2 September 2020. 

Mira bagaimanapun mengakui tidak akan mengucapkan selamat tinggal terhadap dunia seni dan akan kembali berlakon pada masa yang sesuai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 1:32 PM