Mira dan Wan.
Mira dan Wan.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Hasrat pelakon dan pengacara popular, Mira Filzah untuk kerap berbuka puasa dan bersahur bersama suaminya, Wan Emir Astar sepanjang Ramadan ini tidak kesampaian apabila dia terikat dengan jadual penggambaran yang padat.

Mira dalam satu hantaran di Instagram berkata, jadual kerjanya berubah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu hingga ia terpaksa dianjak hingga akhir Ramadan.

"Tahun pertama berpuasa sebagai seorang isteri. Sebelum kahwin hari itu, dah macam-macam fikir. Tengok-tengok, jadual penggambaran dah anjak hingga akhir puasa," katanya.

Mira berkata, tahun ini mungkin hanya beberapa kali dia boleh berbuka dan bersahur dengan Emir. Apatah lagi dengan ibu bapa, nenek, datuk dan keluarga yang lain.

Dalam hantaran sama, Mira juga berkongsi mengenai rancangan asalnya untuk menyediakan juadah sahur dan berbuka buat suami.

Katanya, dia sudah membayangkan banyak yang perlu dilakukan ketika Ramadan terutama selepas bergelar isteri.

"Tak ada dah bangun sahur, terus makan dan mak dah siap hidang. Tak ada nanti nak berbuka, tolong-tolong kacau gulai saja sambil teman mak masak.

"Nak fikir sahur apa, nak berbuka apa, nak kena belajar masak tanpa kena rasa makanan sebab kita pula sejenis setiap kali masak, rasa sampai tiga ke empat kali barulah yakin.

"Tak apalah. Kerja pun satu tanggungjawab dan ibadah dengan niat yang betul," tulisnya.

Mira juga meminta maaf kepada suaminya dan berdoa semoga ibadah puasa kali ini diterima Allah.

Dalam pada itu, Mira turut berkongsi beberapa fotonya bersama Emir yang penuh romantis untuk tatapan pengikutnya.

Hantaran itu menerima hampir 200,000 tanda 'like' di samping ratusan komen daripada pengikutnya di platform media sosial itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 7:17 PM