Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menggesa seluruh warga seni tempatan agar lebih sensitif terhadap perkara berkaitan adat resam, budaya, agama dan nilai yang patut ditonjolkan menerusi karya masing-masing.

Ia sebagai maklum balas daripada isu membabitkan video muzik lagu Kelepok Raya nyanyian usahawan Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman yang didakwa mempromosikan aktiviti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Annuar yang ditemui pada program Iftar Rumah Prihatin berkata, kandungan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga perlu dipatuhi bagi mengelakkan sebarang isu berbangkit.

"Kita harap warga seni hendaklah sensitif kepada hal berkaitan adat resam, budaya, agama dan nilai yang patut ditonjolkan menerusi karya mereka. Kedua, mereka yang terbabit dalam industri ini memahami kandungan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, terutama sekali Seksyen 233 yang menggariskan batasan-batasan yang mana boleh dianggap melanggar undang-undang.

"Ramai juga yang tak pernah baca dan tengok apa undang-undang kata mengenai satu perkara terutama sekali kalau kita sendiri yang muat naik sesuatu dan kandungan itu didapati menyentuh perkara tertentu. Jadi kalau baca sendiri undang-undang, kita tahu masa bila kita terlepas sempadan yang ada.

"Kadang-kadang tak sengaja dan rasa tak salah, tapi apabila menjadi isu baru sedar ia sebenarnya salah. Jadi ada baiknya semua penerbit dan mereka yang nak muat naik sesuatu dapat memahami terutama sekali Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, kerana dengan jelas menyatakan perkara yang boleh dianggap sebagai satu kesalahan," katanya.

Dalam masa sama, Annuar berharap kreativiti yang ditonjolkan perlu ada rasa tanggungjawab dengan menjaga nilai ketimuran, keagamaan dan 3R (Race, Religion dan Royalty).

"Saya harap dunia industri kreatif negara ini, kita galakkan kreativiti tapi kreativiti dalam sebuah negara seperti kita mesti disulami dengan tanggungjawab terhadap nilai ketimuran, keagamaan, dan 3R yang sentiasa menjadi perkara yang dianggap sensitif.

"Jangan main isu perkauman, keagaaman dan institusi raja-raja. Ini semua perkara yang patut difahami bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2022 @ 2:30 PM