NADIYAH mengusahakan perniagaan coklat bersama suami yang juga pelakon, Ben Ali sama seperti peniaga lain iaitu bermula dari bawah.
NADIYAH mengusahakan perniagaan coklat bersama suami yang juga pelakon, Ben Ali sama seperti peniaga lain iaitu bermula dari bawah.
Syanty Octavia Amry

TIDAK pernah menggunakan laluan mudah untuk berjaya termasuk bergelar artis, pelakon Nadiyah Shahab tidak sekali-kali menggunakan ‘kabel’ dalam mengusahakan perniagaannya.

Mula membabitkan diri dengan perniagaan makanan berasaskan coklat, Nadiyah, 27, tidak terkilan apabila pada peringkat awal ramai yang mengecamnya kerana dilihat berjaya menembusi pasaran walaupun masih baharu.

Nadiyah menjalankan perniagaan makanan berasaskan coklat menggunakan resipi keluarganya yang dijual di stesen minyak Petronas di sekitar Lembah Klang. “Saya tak kisah apabila ramai mengaitkan perniagaan saya menggunakan kabel atau orang dalam untuk laris. Saya anggap ini sebahagian asam garam dalam perniagaan. Walaupun pada awal bimbang, selepas isu ini saya lihat semakin ramai yang sokong dan beli,” katanya.

Nadiyah berkata, dia mengusahakan perniagaan coklat bersama suami yang juga pelakon, Ben Ali sama seperti peniaga lain iaitu bermula dari bawah.

“Mereka tidak melihat susah payah suami berjumpa orang ramai untuk memastikan produk kami mendapat tempat. Apabila ia dijual di stesen minyak, ramai pula yang kecam dan menuduh bukan-bukan,” katanya.

Nadiyah berkata, jika benar dia menggunakan orang dalam sudah pasti produk itu berjaya menembusi pasaran seluruh Malaysia dan bukan di Lembah Klang saja.

SIKAP lawak Zizan buatkan Nadiyah ketawa saja sepanjang penggambaran. -FOTO: Nur Adibah Ahmad Izam
SIKAP lawak Zizan buatkan Nadiyah ketawa saja sepanjang penggambaran. -FOTO: Nur Adibah Ahmad Izam

Asyik ketawa berlakon dengan Zizan

Nadiyah bakal muncul dalam supertele berjudul Saya Jual Ye Bang yang akan menemui penonton di saluran Astro First Ekslusif bermula hari ini. Saya Jual Ye Bang turut menyaksikan gandingan pertama Zizan Razak dan Uqasha Senrose dan pengalaman pertama Nadiyah berlakon dalam supertele.

Bercerita mengenai supertele itu, Nadiyah berkata, dia memperoleh pengalaman baru berlakon dengan Zizan.

Katanya, Zizan seorang yang kelakar dan sering menukar dialog pada saat akhir membuatkan dia perlu sentiasa peka.

“Selain suka menukar dialog pada saat akhir, sikap lawak Zizan membuatkan saya hendak ketawa saja sepanjang penggambaran.

“Kadang-kadang terasa seperti tidak profesional kerana lebih banyak ketawa. Namun, pengalaman bekerja dengan mereka semua memberi banyak ilmu untuk saya.

“Begitu juga babak dengan Uqasha. Di luar kami adalah kawan baik dan menerusi cerita ini kami banyak bergaduh. Ia agak sukar tetapi kami cuba memberikan yang terbaik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 5:01 AM