Nadiyah Shahab
Nadiyah Shahab
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon Nadiyah Shahab mengakui rindu akan bidang lakonan namun memberikan komitmen dan tanggungjawab terhadap bidang perniagaan yang diusahakan bersama suaminya, Ben Ali.

Sejak bernikah pada 10 November 2018, pasangan sama padan itu dilihat begitu aktif dalam dunia perniagaan diusahakan mereka.

Kedua-duanya yang terlebih dulu bermula sebagai pelakon juga dilihat sanggup memperlahankan rentak seni.

"Teringin juga hendak berlakon kembali namun masa tidak mengizinkan. Apatah lagi jika di set penggambaran, kita tidak dapat menduga jangkaan masa di lokasi.

"Jadi tidak adil untuk saya lepas tangan dan membiarkan Ben menguruskan perniagaan seorang. Apa pun biar kami berdua bersama-sama," katanya.

Nadiyah ditemui di majlis sidang media konsert Absolut Music Festival yang bakal berlangsung selama 3 hari bermula 4 hingga 6 November ini.

Sementara itu, Nadiyah yang memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah Eksekutif, Absolut Brands Sdn Bhd turut teruja dengan konsert percuma yang bakal berlangsung itu.

"Semakin dekat tempoh acara yang bakal dianjurkan semakin berdebar-debar. Apa pun boleh terjadi dalam tempoh ini, jadi saya berdoa semuanya berjalan dengan lancar.

"Malah, jika ada acara sebegini, keluarga di Singapura juga tidak putus melakukan solat hajat setiap hari. Saya percaya doa dan restu keluarga juga memainkan peranan penting," katanya.

Konsert ini bakal menampilkan seramai 18 penyanyi terkenal tanah air dan beberapa artis baharu tempatan digandingkan di atas satu pentas yang sama. 

Barisan penyanyi utama yang bakal membuat persembahan adalah kumpulan Search, Alleycats, Joe Flizzow, Andi Bernadee, Akim & The Majistret, Aman Ra, Floor 88, Faizal Tahir, Bunkface, Elizabeth Tan, Dolla, Janna Nick, Ayda Jebat, Kugiran Masdo, Kidd Santhe, Projector Band, ForceParkBois dan Insomniacks. 

Selain itu, konsert ini bakal memperkenalkan dua kumpulan wanita terbaharu iaitu The Gadys dan The Sara Sisters.

Bertemakan festival terbuka ataupun "outdoor concept" , festival ini diadakan bertujuan untuk menyemarakkan lagi industri acara di Malaysia yang tampak suram sejak dua tahun kebelakangan ini. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 2:41 PM