APRENA Manrose. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
APRENA Manrose. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
Ramlah Zainal

DALAM tempoh lima tahun membina nama, pelbagai pahit getir sudah dilalui pelakon jelita Aprena Manrose.

Bukan saja pernah ditipu ketika membintangi filem epik, 1875 apabila tidak dibayar, Aprena juga mendakwa kebajikannya sebagai pelakon diabaikan penerbit ketika penggambaran drama bersiri di luar negara sebelum ini.

Namun, Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 25, tidak pernah mengalah untuk terus menggilap bakatnya dalam bidang lakonan yang diceburi sejak dulu.

Aprena dikenali menerusi drama bersiri Tiada Arah Jodoh Kita ini sangat bersyukur kerana undangan berlakon tidak pernah putus sampai sekarang.

“Alhamdulillah, saya masih mendapat kepercayaan penerbit dan pengarah drama serta filem walaupun kemunculan ramai bakat baharu ketika ini.

“Jadual kerja saya juga padat termasuk mengusahakan perniagaan sehingga November nanti,” katanya.

Terbaharu, Aprena baru saja selesai penggambaran drama bersiri 20 episod, Alergi Mamat Romantik arahan Harris Fadzillah di Paris, Perancis.

Dalam drama itu, Aprena melakonkan watak antagonis yang diterajui Zara Zya dan Fadlan Hazim.

“Saya terima tawaran berlakon drama itu kerana tertarik dengan watak ditawarkan.

“Watak saya sebagai Alana yang menderita penyakit amnesia tetapi tetap berebut pasangan dalam cerita ini.

“Penggambaran drama bersiri itu selama dua bulan di Kuala Lumpur dan di Paris pula lapan hari,” katanya.

Bagaimanapun, dia berdepan pengalaman perit kerana bertarung dengan penyakit gastrik teruk ketika penggambaran di Paris, baru-baru ini.

“Saya akan mempertimbangkan banyak perkara sebelum menerima projek lakonan di luar negara selepas ini.

“Antaranya membawa pembantu peribadi atau suami supaya kebajikan terjaga jika berlaku kejadian tidak diingini atau kecemasan seperti jatuh sakit,” katanya.

Aprena juga tidak memandang ringan penyakit gastrik itu dengan segera mendapat rawatan di pusat perubatan sebaik kembali ke Kuala Lumpur, 28 Ogos lalu.

“Selepas empat hari ditahan di wad, saya pulih dan dibenarkan pulang ke rumah.

“Sepatutnya saya terbabit dengan satu lagi projek drama bersiri sebaik kembali ke tanah air, namun terpaksa menolak tawaran berkenaan kerana doktor meminta saya berehat sekurang-kurangnya dua minggu sebelum kembali ke lokasi penggambaran,” katanya.

APRENA Manrose. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
APRENA Manrose. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.

Bapa restu ceburi lakonan

Walaupun sudah lima tahun bergelar pelakon, Aprena mengakui masih banyak ilmu mahu ditimbanya dalam bidang lakonan.

“Saya sudah melakonkan watak pembantu dan heroin dalam drama serta filem sebelum ini.

“Kini, saya impi untuk melakonkan watak dalam filem aksi serta mahu mengembangkan bakat ke pentas teater,” katanya.

Mengenai pengurusan pula, buat masa ini, kata Aprena, dia selesa bergerak sendiri tanpa bernaung di bawah mana-mana pengurusan artis.

“Selain suami, ada abang membantu mengatur jadual supaya tidak bertindih.

“Jika tidak terbabit dengan penggambaran, saya juga sibuk mengusahakan perniagaan sebagai jaminan masa depan,” katanya.

Ditanya sampai bila akan terus berlakon, kata anak pasangan penyanyi dangdut Iwan Syahman dan Allahyarham pelakon Rosnah Mohd Noor ini, dia tidak meletakkan tempoh tertentu untuk berkecimpung dalam bidang seni.

“Saya bersyukur kerana papa tidak menghalang pembabitan dalam bidang seni kerana dia memahami rezeki saya dalam bidang seni.

Menurut papa, saya tidak akan berada selamanya dalam bidang seni kerana akan tiba masanya saya akan meninggalkannya,” katanya.

Selain kakaknya, Oktovia Manrose menceburi bidang seni, Aprena juga sepupu kepada trio adik-beradik popular Uqasha Senrose, Nelydia Senrose dan Raysha Rizrose.

Selain drama, Aprena berdebar menanti tarikh tayangan beberapa filem lakonannya yang bakal menjengah pawagam tahun depan.

Antaranya watak pembantu dalam filem genre aksi komedi Bulan dan Pria Terhebat arahan Ghaz Abu Bakar yang diterajui Zahirah Mac Wilson dan Zizan Razak.

Selain itu, filem Ratu Kala Jengking terbitan A Aida Production dan watak Biduanita Negara Puan Sri Saloma dalam filem Showtime 1958 arahan Dr Anwardi Jamil.

Manakala, dalam filem Jodoh Syaitan arahan Ismail Bob Hashim, Aprena beraksi sebagai heroin bergandingan dengan pelakon berpengalaman Soffi Jikan.

Dalam perkembangan lain, Aprena juga menjalankan perniagaan biskut bersama kakaknya Oktovia.

“Kami juga mula membuka gerai biskut selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat.

“Ia membabitkan perisa iaitu Almond, coklat dan Butterscotch.

“Terbaru, kami menjual biskut dan melancarkan minuman ‘ice blended’ sempena Absolute Food Festival di Johor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 6:31 AM