Sudirman Mohd Tahir


SELEPAS tiga tahun bekerja keras mengukuhkan jenama Absolut Chocolat termasuk memiliki kios fizikal pertama di pusat beli-belah Mid Valley, Kuala Lumpur, pasangan suami isteri, Ben Ali dan Nadiyah Shahab terus diaju persoalan mengenai cahaya mata.

Sejak bernikah pada 10 November 2018, pasangan sama padan itu dilihat begitu aktif dalam dunia perniagaan diusahakan mereka.

Kedua-duanya yang terlebih dulu bermula sebagai pelakon juga dilihat sanggup memperlahankan rentak seni.

Contohnya, Ben atau nama sebenarnya, Nur Ali Nadzwan sudah tidak lagi berlakon. Bagaimanapun, Nadiyah pula tampak lebih memilih dalam mempertimbangkan tawaran lakonan.

Nadiyah atau nama sebenarnya Sharifah Nadiyah Syed Fuad Al Shahab berkata, mereka tak pernah putus berharap dan berusaha untuk dikurniakan cahaya mata sebagai pelengkap rumah tangga.

"Siapa yang tak mahu anak? Bayangkan dalam perniagaan kami usahakan pun, sudah 'lahir' kios fizikal pertama di Mid Valley. Mestilah kalau boleh dan diizinkan, kami nak anak juga. Malah ada teman berseloroh, kios fizikal boleh diadakan, takkan anak sendiri tidak boleh diusahakan.

"Jujur, ikutkan baik saya dan Ben memang nak anak. Kalau boleh sekarang pun memang nak jadikan ia kenyataan. Tapi kita hanya, merancang dan berusaha. Selebihnya, kuasa Tuhan," katanya.

TERUS memberi fokus pada perniagaan diusahakan.
TERUS memberi fokus pada perniagaan diusahakan.

Pelakon kelahiran Singapura yang menempa nama di Malaysia itu turut menepis cerita kononnya dia tidak mahu hamil.

"Tak ada istilah saya tak nak hamil. Semestinya kahwin itu sebagai isyarat untuk kita terus menambah zuriat dan keturunan. Cuma baik saya dan suami memang terlalu fokus bekerja. Masing masing mempunyai peranan penting dalam syarikat.

"Saya sendiri lebih kepada penjenamaan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan kerja sumber manusia. Suami saya pula terarah kepada kerja pemasaran, kewangan, pembangunan perniagaan serta operasi syarikat.

"Dalam hal berniaga ini, kami tidak boleh ambil mudah. Untuk mengukuhkan jenama Absolut Chocolat bukan perkara yang dibuat dalam masa singkat. Apatah lagi dalam keadaan dunia diuji dengan pandemik Covid-19," katanya.

BERSERAH soal cahaya mata.
BERSERAH soal cahaya mata.

Dalam pada itu, Nadiyah yang memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah Eksekutif, Absolut Brands Sdn Bhd teruja kerana impian mempunyai kios pertama akhirnya menjadi kenyataan.

"Kebiasaannya sektor luar talian atau 'offline' di pusat beli belah didominasi bangsa lain. Jadi apabila ia menjadi realiti, saya bersyukur sangat. Malah kami merancang untuk tambah empat lagi cawangan kios di pusat beli belah sekitar Lembah Klang termasuk Pavilion KL dalam tahun ini. Ikut perancangan selepas ini akan ditambah lima kios sebelum April 2022. Ia menjadikan keseluruhan cawangan sebanyak 10 cawangan bagi suku pertama tahun depan.

"Selama ini, 85 peratus daripada pelanggan kami dalam kalangan orang Melayu. Tapi kini sejak ada kios itu, pelanggan dari bangsa Cina pun sudah ada. Lucunya menerusi bancian kami lakukan di pusat beli belah itu, ada anggap jenama kami dari Korea Selatan," katanya sambil memberitahu perniagaan diusahakan baru baru ini turut diiktiraf Superbrands International dan dianugerahkan Superbrands Malaysia's choice 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 6:35 AM