PUTERI Balqis.
PUTERI Balqis.

Kuala Lumpur: Pelakon, Puteri Balqis menasihatkan pelakon, Mia Sara Nasuha supaya tidak mengulangi tindakannya menghakimi kehidupan orang lain seperti yang dilakukannya di akaun TikTok pada Disember lalu.

Ia ekoran tindakan Mia yang mendakwa Balqis dibesarkan tanpa didikan agama Islam yang sepatutnya.

"Saya hanya akan cakap sekali, jangan ulangi perkara sama. Saya harap, kita dapat teruskan dengan hidupan masing-masing," katanya dalam hantaran video di Instagram.

Menerusi video sama, Balqis atau mesra disapa Aqish juga memohon maaf kepada Mia dan bapa Mia, Muhammad Ridhuan Muhammad Saleh dan menegaskan bahawa dia dan ibunya, Norashikin Mohd Aziz tidak pernah mengganggu kehidupan orang lain.

"Dari lubuk hati saya yang terdalam, saya ingin memohon maaf kepada awak, Mia Sara dan juga ayah awak, Pakcik Ridhuan, rakan-rakan serta penyokong awak.

"Saya dengan ibu buat hal kami sendiri dan tak kacau orang. Jadi, saya terasa hati apabila dikatakan tidak dibesarkan dengan baik oleh keluarga. Itu satu fitnah besar," katanya.

Balqis berkata, dia tidak menunjukkan rasa cinta kepada Tuhan melalui gambar dan sebaliknya ada cara tersendiri berbuat sedemikian.

"Apabila sebut mengenai keluarga, keluarga saya hanyalah ibu saya. Saya tak tunjukkan rasa cinta saya kepada Tuhan melalui gambar, tetapi, melalui puisi dan penulisan. Tak semua orang faham," katanya.

Menutup video berdurasi satu minit 25 saat itu, Balqis mengajak penyokongnya untuk terus melakukan perkara yang baik.

"Kepada penyokong saya, apa yang boleh dikatakan, terima kasih untuk kasih sayang kamu semua. 

"Biarkan orang menghakimi kita sebab tak ada apa yang perlu dibuktikan. Teruskan berbuat baik. Terima kasih," katanya.

Terdahulu, Mia Sara memuat naik hantaran di akaun TikTok miliknya pada Disember lalu dan menyentuh mengenai didikan yang diterima oleh Balqis ketika membesar, tidak diberi mengikut cara Islam.

Walaubagaimanapun, dalam hantaran sama, Mia juga meminta netizen supaya tidak menghakimi Balqis, tetapi berikan teguran secara berhemah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Februari 2022 @ 4:30 PM