SHAMYL dan bapanya, Othman.
SHAMYL dan bapanya, Othman.
Norhayati Nordin


DI mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Begitu juga bakat seni dalam bidang pengarahan dimiliki Shamyl Othman yang diwarisi daripada bapanya juga pengarah terkenal era 1980-an, Othman Hafsham.

Shamyl yang sebelum ini pernah mengarahkan filem Kami Histeria dan Rembat, kini tampil mempertaruhkan drama baharu sentuhannya berjudul Ex Aku Pontianak yang disiarkan di Astro Ria, setiap Rabu, jam 9.30 malam.

Ditemui baru-baru ini pada majlis sidang media drama itu, Shamyl berkata, karya seninya yang bergenre komedi seram berkenaan sudah digarap dengan sebaik mungkin dan mempunyai kelainan tersendiri.

"Bagi penonton yang menyaksikan drama Ex Aku Pontianak ini kena mengikuti perjalanan ceritanya setiap minggu untuk anda tahu kisah sebenar yang berlaku.

"Setiap karakter watak dipaparkan mempunyai jalan cerita berbeza. Bagaimanapun, kita tetap memastikan dalam hiburan itu mesti dimuatkan juga dengan pelbagai mesej untuk penonton.

"Apa pun, saya gembira mendapat kepercayaan penerbit, Lina Tan untuk memberi sentuhan pengarahan dalam drama ini. Harapan saya semoga penonton gembira dan mendapat mesej yang cuba disampaikan," katanya.

Sehubungan itu, barisan pelakon drama Ex Aku Pontianak ialah Ikmal Amry, Elizabeth Tan, Raysha Rizrose, Alicia Amin, Fatimah Abu Bakar, Datuk Malek Noor, Nadiya Nisaa dan ramai lagi.

Mengulas juga pemilihan pelakon, Shamyl berkata, dia gembira dan bersyukur semuanya berjaya melakonkan watak mereka dengan baik. Bahkan katanya, rata-rata pelakon sudah pernah bekerja dengannya.

"Apa pun, saya gembira dapat membawa semula 'uncle' Malek Noor kembali ke dunia lakonan yang dirinduinya. Saya amat berbesar hati apabila dia sudi terbabit dalam drama ini.

"Ketika mempelawanya, dia (Melek) terus bersetuju dan saya sangat bersyukur. Ini kerana karakter Uncle Fuad itu sesuai dengannya. Ditambah pula gandingan bersama ibu Fatimah," katanya.

Shamyl berkata, perkenalan antaranya dengan Malek juga sudah lama iaitu sejak kecil kerana filem pertama lakonan bekas jaguh bina badan negara itu berjudul Ujang pada 1988 adalah arahan bapanya, Othman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Februari 2022 @ 6:20 AM