MALEK Noor. FOTO Arkib NSTP
MALEK Noor. FOTO Arkib NSTP
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Bagi peminat yang merindui lakonan Datuk Malek Noor, bekas jaguh bina badan negara yang juga pelakon dan pengacara itu kini kembali semula ke dunia lakonan.

Malek, 67, yang dikenali dengan filem seperti Ujang, Juara, Rimba Malam dan Pemburu Bayang pada era 1990-an, muncul membintangi drama Ex Aku Pontianak dengan membawa watak Uncle Fuad.

Pengarah drama itu, Shamyl Othman berkata, dia sekadar mempelawa Malek untuk membintangi drama itu dan tidak menduga tawarannya terus diterima.

"Saya dapati watak Uncle Fuad iaitu bapa Suraya (lakonan Raysha Rizrose) agak sesuai dengan 'uncle' Malek dan terus menghubunginya untuk bertanya jika dia berminat.

"Ketika menghubunginya, saya hanya bertanya sama ada dia masih berminat nak berlakon atau tidak? Tapi, tak sangka dia terus beri jawapan ya.

"Katanya (Malek) kepada saya, dia memang masih berminat lagi nak berlakon. Malah, saya berilah apa-apa watak pun dan dia okay saja untuk terima," katanya.

SHAMYL bersama bapanya yang juga pengarah popular, Othman Hafsham.
SHAMYL bersama bapanya yang juga pengarah popular, Othman Hafsham.

Terdahulu, Shamyl juga anak pengarah terkenal era 1980-an, Othman Hafsham yang mengarahkan sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan 2 + 1 itu ditemui di majlis pelancaran dramanya di ibu kota, baru-baru ini.

Menurut Shamyl, perkenalan yang sudah lama di antaranya dengan Malek sejak masih kecil turut membantu mereka menjalin kerjasama dengan mudah.

"Saya dan 'uncle' Malek dah kenal lama kerana dulu dia pun pernah berlakon filem pertamanya, Ujang pada 1988 yang diarahkan oleh ayah saya. Jadi, kami sudah saling mengenali.

"Selain itu, dia (Malek) juga amat merindui bidang lakonan hingga terus bersetuju dengan pelawaan saya tanpa minta masa berfikir. Bagi saya, ini adalah rezeki," katanya.

Drama Ex Aku Pontianak yang disiarkan setiap Rabu, jam 9.30 malam di Astro Ria turut dibintangi Ikmal Amry, Alicia Amin, Fatimah Abu Bakar, Nadiya Nisaa dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 4:22 PM