AKUI akui amat selesa utamakan urusan kerja.
AKUI akui amat selesa utamakan urusan kerja.
Najiy Jefri


BERGELAR bapa tunggal hampir 25 tahun tidak membuatkan pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi terburu-buru untuk mencari pasangan hidup dan seterusnya kembali berumah tangga.

Aznil yang mesra disapa Pak Nil berkata, soal jodoh bukan lagi keutamaan kepada dirinya kerana lebih selesa bergerak solo dan melalui kehidupan dengan tenang.

Katanya, sejak tiga dekad lalu dia meletakkan sepenuh rasa cinta dan kasih terhadap kerja seni dan tanggungjawabnya kepada masyarakat.

"Anak tak pernah tanya pasal jodoh. Mereka pun tahu dan selalu nampak papa (panggilan anak) asyik sibuk dengan urusan kerja.

"Anak sulung saya juga jenis wanita berkerjaya. Soal kahwin bukan keutamaan.

"Namun, hubungan mereka dengan mama (bekas isteri) terus terjalin baik biarpun anak tinggal dengan saya," katanya ketika ditemui pada majlis Up Close & Personal With Pak Nil dan sesi pengumumannya sebagai duta Nakada di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Pak Nil, sebagai bapa dia sentiasa menggunakan pendekatan sama seperti ibu bapa lain mendidik anak supaya menjadi insan yang baik dan saling menghormati.

"Saya selalu ingatkan mereka untuk hormat kepada orang tua. Saya juga ajar mereka supaya pandai buat keputusan sendiri dengan betul.

"Paling utama dalam setiap langkah mereka, saya selalu ingatkan untuk fikir panjang dulu sebelum membuat keputusan atau bertindak," katanya.

PAK Nil masih mendapat permintaan sebagai duta produk.
PAK Nil masih mendapat permintaan sebagai duta produk.

Biarpun bakal menjengah usia 60 tahun pada November tahun ini, Pak Nil dilihat masih lagi mendapat permintaan menjadi duta produk.

Bagi selebriti yang aktif dengan kerja kebajikan itu, pembabitannya sebagai duta bukan sekadar 'melobi', tetapi meningkatkan kesedaran ramai terhadap jenama itu.

"Saya sedar penularan pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak dua tahun lalu memberi kesan kepada ramai orang. Ia termasuk dalam aspek perbelanjaan ekonomi.

"Oleh itu, saya berbincang dengan Nakada untuk mengadakan sesi belian harga istimewa. Permintaan itu dipersetujui mereka dan sekali gus membolehkan orang ramai memiliki barangan jenama itu dengan harga runtuh.

"Setiap minggu saya akan buat satu jam sesi siaran langsung di media sosial termasuk Facebook, Instagram dan TikTok. Dalam tempoh itu, belian harga duta membolehkan pengikut media sosial membeli barangan jenama itu dengan potongan harga sehingga 70 peratus," katanya.

Mengulas mengenai pelantikan Pak Nil sebagai duta, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Datuk Yap Kong Heng menjelaskan pihaknya memilih selebriti terkenal berkenaan atas kredibiliti yang dimiliki.

"Dia (Pak Nil) juga masih kekal relevan dalam memikat hati ramai orang menerusi bidang kerja yang dilakukannya. Walaupun usia juga sudah meningkat, dia tetap bersungguh-sungguh menjalankan kerja selain dilihat sering membantu mereka memerlukan.

"Lihat saja ketika era pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu dan musibah banjir baru-baru ini, Pak Nil antara yang tak betah duduk diam. Sebaliknya, dia ingin terus berusaha membantu dengan menggunakan populariti dan kelebihan yang ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 6:20 AM