PAK Nil
PAK Nil
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Walaupun sudah berusia 60 tahun, pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi masih ligat dan terus aktif dengan penggunaan media sosial yang disifatkan sebagai satu platform teknologi terbaik.

Aznil atau lebih dikenali Pak Nil berkata, dia seronok meluangkan waktu berkongsi pelbagai kandungan yang berfaedah terutama di platform TikTok ketika ini.

Katanya, dia juga menggalakkan orang ramai supaya turut sama berkongsi perkara yang baik menerusi platform berkenaan.

"Di platform TikTok saya tidak akan lakukan sesuatu yang bukan kepakaran saya. Saya tak pernah menari di TikTok sebab saya memang tak tahu menari. Jadi, kita cuba teroka bidang lain yang boleh diketengahkan. Misalnya, kalau ada yang pandai berpantun, apa kata gunakan platform TikTok ini untuk berpantun. Kalau pandai memasak, masaklah. Kandungan di TikTok ni pelbagai, sehinggakan video orang bercakap dengan kambing pun saya tonton!" katanya ketika ditemui pada majlis Up Close & Personal With Pak Nil dan sesi pengumumannya sebagai duta Nakada di sini, baru-baru ini.

Paknil yang kini memiliki lebih 114,000 pengikut di TikTok berharap kandungan positif yang dimuat naik dapat menjadi sumber inspirasi kepada orang ramai.

"Kadang-kadang, saya habiskan masa yang lama di TikTok. Ini kerana saya tertarik dengan kandungan yang dikongsikan pengguna lain.

"Dalam masa yang sama, saya juga kerap adakan sesi siaran langsung (live TikTok) sewaktu sedang bersenam dan berlari di atas 'treadmill'. Tanpa sedar, sejam saya berborak dengan pengikut.

"Ramai yang menonton pula terdiri daripada golongan muda dan ada yang berasa kagum bila saya dapat baca komen sambil berlari. Kalaulah ada yang berfikiran bahawa 'bila tua mahu jadi macam Pak Nil, umur 60 pun boleh berlari lagi.' Harapnya itu boleh dijadikan inspirasi, insya-Allah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 January 2022 @ 12:52 PM