Datuk Aznil Nawawi (kiri) bersama Pengarah Urusan Nakada Group, Datuk Yap Kok Siang ketika memeterai perjanjian kerjasama.
Datuk Aznil Nawawi (kiri) bersama Pengarah Urusan Nakada Group, Datuk Yap Kok Siang ketika memeterai perjanjian kerjasama.

Kuala Lumpur: Beroperasi sejak lebih dua dekad, syarikat Nakada Group (M) sebenarnya dimiliki dan diusahakan dua adik beradik dari Malaysia, Datuk Yap Kok Heng dan Datuk Kok Siang.

Biarpun kedengaran seperti nama dari Jepun, hakikatnya jenama itu diangkat dari sekecil-kecil usaha di pasar basah hinggalah menempa nama di dalam dan luar negara menerusi pasaran dalam talian.

Berasal dari sebuah syarikat berstatus 'enterprise' di bawah nama Tango Enterprise sejak 1999 dan kemudian ke Sdn Bhd pada Ogos 2007, jenama ini bergerak atas hasrat menjadikan kehidupan masyarakat lebih praktikal dan mementingkan aspek kesihatan.

Di bawah syarikat itu bernaung tiga jenama utama, Nakada, Primada dan Cuoco.

"Memang ada yang beranggapan nama syarikat itu berasal dari negara matahari terbit. Tapi tidak kerana ia buatan Malaysia.

"Nama itu sebenarnya diambil daripada seorang pemain bola sepak berpengaruh dari Jepun yang berjaya menembus bukan saja pasaran Asia tetapi maju hingga ke Eropah.

"Begitu juga impian saya dan adik untuk membawa jenama ini melangkaui semua pasaran di dunia dengan menjual peralatan elektrik untuk rumah buatan tempatan dan mengimport dari luar negara yang terbaru serta canggih" kata Yap Kong Heng selaku Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu.

Malah produk ini juga menembusi pasaran luar negara termasuk di Hong Kong hingga menjadikan Kiki Sheung yang juga artis terkenal dari sana sebagai duta sejak lebih sedekad lalu.

Malah sejak Mei tahun lalu, pengacara popular tanah air, Datuk Aznil Nawawi atau lebih mesra dipanggil Pak Nil pula dilamar sebagai duta sama di Malaysia untuk tempoh dua tahun.

Majlis menandatangani kontrak sekali gus mengumumkan Pak Nil sebagai duta turut diadakan di ibu kota.

"Kami mempunyai sebab konkrit memilihnya sebagai duta. Beliau mempunyai imej yang sihat, ceria, peramah, suka memasak, menjaga kesihatan dan tubuh badan.

"Lalu minat dan dedikasinya itu bertepatan dengan produk yang syarikat kami pasarkan. Dia masih kekal relevan memikat hati ramai orang dalam bidang tugas dilakukan. Hatinya juga sangat murni kerana sentiasa mahu membantu mereka yang memerlukan.

"Lihat saja ketika era pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu dan musibah banjir, beliau antara yang tak betah duduk diam. Sebaliknya mahu membantu dengan menggunakan populariti dan kelebihan yang ada," katanya.

Tambahnya, pihaknya tak ketinggalan disokong pasukan kerja dinamik termasuk di platform media sosial dan teknologi maklumat seperti Facebook, Instagram, Lazada, Shopee dan laman www.primada.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 4:09 PM