WARGA emas mendoakan Pak Nil selepas menerima hadiah telefon bimbit di stesen minyak di Bukit Senyum.
WARGA emas mendoakan Pak Nil selepas menerima hadiah telefon bimbit di stesen minyak di Bukit Senyum.
Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: “Alhamdulillah, panjang umur, sihat tubuh badan, mudah-mudahan dijauhkan Pak Nil perkara yang tak baik,” demikian doa spontan seorang lelaki warga emas selepas menerima telefon bimbit daripada Datuk Aznil Nawawi.

Terdahulu Datuk Aznil yang popular dengan gelaran Pak Nil menarik perhatian netizen apabila video berdurasi pendek selama 57 saat memperlihatkan aksinya memberikan telefon bimbit kepada seorang warga emas.

Video yang diperoleh menerusi Instagram (IG) Pak Nil itu dikongsi media sosial termasuk laman sosial Facebook (FB) Viral Media Johor.

Berdasarkan perkongsian video itu, Pak Nil yang juga pengacara popular menghadiahkan barangan bagi program Go Pak Nil ketika dalam perjalanan ke Singapura.

“Tadi dalam perjalanan ke Spura, #paknil berhenti di stesen minyak Petronas Bukit Senyum, JB. Paknil tersentuh melihat seorang tua ditemani cucunya menjual tisu tersimpuh bersila di atas simen.

“Secara kebetulan dalam kereta Paknil ada telefon bimbit Leego yg bakal Paknil jual di #GoPaknil Rabu depan.

“Pak Nil turun dan hadiahkan padanya. Doa tulus dari pak cik itu sudah cukup buat Pak Nil,” katanya berkongsi coretan dalam IG Paknil.

VIDEO Pak Nil dimuat naik FB Viral Media Johor.
VIDEO Pak Nil dimuat naik FB Viral Media Johor.

Sementara itu, pemerhatian terhadap video berdurasi pendek memperlihatkan Pak Nil mendekati pasangan warga emas dan budak perempuan dipercayai cucunya yang duduk di stesen minyak berkenaan.

Pak Nil yang menyapa sambil mencium tangan lelaki itu menyuarakan hajatnya menghadiahkan telefon bimbit.

“Assalamualaikum pak cik, apa khabar? Salam dulu. Saya ada hadiah telefon untuk pak cik gunakan. Saya bagi ikhlas daripada rancangan Go Pak Nil. Jadi sekarang rezeki pak cik,” sambil dibalas syukur Alhamdulillah dan doa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 12:30 PM