NOORKHIRIAH lakon watak berat dalam telefilem Itulah Takdirnya.
NOORKHIRIAH lakon watak berat dalam telefilem Itulah Takdirnya.
Norhayati Nordin


DI sebalik luahan hatinya terhadap bayaran penggambaran diterima baru-baru ini, pelakon berkaliber Noorkhiriah Ahmad Shapie tetap bersyukur tawaran berlakon karya terbaik masih diperoleh.

Noorkhiriah, 44, mengakui teruja dapat membintangi telefilem berjudul Itulah Takdirnya arahan Pak Tua yang bakal ditayangkan di RTM nanti.

Skrip telefilem itu ditulis Pak Tua dan Maizurah Ederis.

"Saya melakonkan watak Nur Ain di mana dia tidak tahu dirinya sudah dimadukan. Konflik timbul ketika Nur Ain tahu mengenai 'kewujudan madu' itu selepas suaminya dan wanita terbabit meninggal dunia akibat kemalangan.

"Malah, lebih menjadikan Nur Ain bertambah marah dalam diam apabila dia perlu menjaga anak gadis suami bersama madunya itu yang baru diketahui dan membuatkan dia rasa sakit hati. Cerita ini amat berat bagi saya sebenarnya.

"Permainan watak bukan biasa-biasa dan begitu mendalam. Sebaik mendapat skrip karya ini dan membacanya, saya terus berminat serta enggan menolak walau ketika itu tidak tahu barisan pelakon lain," katanya.

Menurut Noorkhiriah, jalan cerita kisah Itulah Takdirnya pasti begitu dekat dengan golongan wanita. Katanya, realiti sebenar tidak ramai wanita yang rela hidup bermadu dan kisah Nur Ain pula, dia dimadukan agak lama secara rahsia.

"Terlalu banyak dialog yang 'makan dalam' dan saya yakin penonton akan merasai kesannya. Ternyata, bukan mudah untuk seorang wanita itu menerima keadaan dirinya sudah dimadu suami tanpa pengetahuan.

"Nak dapatkan penjelasan daripada persoalan-persoalan berbekas di hati, memang tak dapat dibuat lagi sebab suami dan madu pun sudah meninggal dunia. Jadi, rasa sakit itu hanya Nur Ain rasai seorang diri dan dipendam begitu saja," katanya.

Turut berganding dengan pelakon remaja, Puteri Balqis Azizi atau Aqish, 15, yang menjadi 'anak tiri rahsia' Nur Ain, Noorkhiriah berkata, dia gembira dengan gabungan kerjasama mereka.

"Saya sudah melihat Aqish berlakon sejak kanak-kanak dan dia juga pernah menang beberapa trofi. Jadi, siapa yang tidak teruja hendak berlakon semula dengannya. Ditambah sudah lama kami tidak berjumpa.

"Peluang dan pengalaman saya berlakon dengan Aqish memang seronok kerana dia seorang pelakon yang bagus dan berbakat. Tidak sukar untuk kami bawakan watak masing-masing dengan baik.

"Komitmen ditunjukkan Aqish di set penggambaran juga bagus dan terbaik. Teknik lakonannya masih sangat mantap dan ternyata bakat anugerah daripada Allah itu, takkan pernah pudar walau Aqish dah lama juga tidak berlakon," katanya.

Noorkhiriah berkata, selain bakat lakonan mantap dan sikap yang tenang di lokasi, Aqish baginya seorang pelakon muda sangat senang membawa diri dan memberi kerjasama. Katanya, tak ambil masa lama untuk mereka serasi.

Selain Noorkhiriah dan Puteri Balkish, ia turut dibintangi Safura Yacob yang turut memberi lakonan berkesan untuk watak sebagai sahabat baik Nur Ain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 6:44 AM