Noorkhiriah anggap berbaloi berlakon semula selepas menyepi lebih setahun. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Noorkhiriah anggap berbaloi berlakon semula selepas menyepi lebih setahun. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Norhayati Nordin


PELAKON Noorkhiriah Ahmad Shapie, 42, berasa kemunculan semulanya dalam lakonan berbaloi dengan kejayaan drama Nur di TV3 dan Cinta Sup Bunjut di Kool FM.

Terdahulu, Noorkhiriah membuat keputusan 'berhenti seketika' dalam lakonan dan dia menyepi selama satu setengah tahun.

Apapun, Noorkhiriah yang melakonkan watak antagonis, Aisyah dalam Nur berkata dia sangat berpuas hati apabila karya dibintanginya berjaya.

"Paling, saya tak sangka rentetan daripada Nur, kini drama Cinta Sup Bunjut di Kool FM juga berjaya menambat hati pendengar.

"Kerjasama lakonan saya dan Azhan Rani nampaknya disukai ramai dah syukur Alhamdulillah. Terima kasih pada yang menyokong," katanya.

Menurut Noorkhiriah, kini bukan populariti yang dikejarnya tetapi cukuplah dapat berlakon dalam karya yang mampu memberi impak besar pada masyarakat.

"Sebagai pelakon, satu kepuasan buat saya jika karya dibintangi itu berjaya menghiburkan penonton termasuk membawa pengajaran besar.

"Macam impak yang dibawa oleh drama Nur membuatkan saya berasa terlalu gembira kerana banyak pengajaran baik termasuk perkara perlu dihindari dimuatkan untuk penilaian penonton," katanya.

Ujar Noorkhiriah, impak besar pada sesebuah karya sudah cukup untuk membantu pelakon membuktikan bakat dimiliki kerana ia kejayaan berpasukan.

Jelasnya lagi, itu bermakna skrip bagus, pengarah kreatif, barisan pelakon mantap termasuk seisi pasukan produksi sudah berjaya membentuk kerjasama yang baik.

Jika drama Nur akan ada sekuelnya, begitu juga dengan Cinta Sup Bunjut yang ditambah lagi rakaman untuk 15 episod menjadi 30 keseluruhannya.

Rakaman tambahan episod Cinta Sup Bunjut di Kool FM itu bermula hari ini sebagai memenuhi permintaan pendengar.

Dalam drama Cinta Sup Bunjut yang disiar selama 10 minit setiap Isnin hingga Jumaat, Noorkhiriah dengan watak Sabariah dan Azhan sebagai Azman.

Mengulas kerjasama dengan Azhan, ujar Noorkhiriah dulu gandingan serasinya di layar adalah pelakon Benjy.

"Sekarang, saya dah jumpa gandingan serasi yang baru dengan Azhan pula. Saya terharu dan hanya mampu mengucap syukur," katanya

Apapun, kini ada segelintir peminat memberi jolokan pada gandingan Noorkhiriah dan Azhan sebagai pasangan Shah Rukh Khan & Kajol Malaysia Kedua selepas Alif Satar dan Siti Nordiana.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 1:15 PM