Hael Husaini
Hael Husaini
Ridzuan Abdul Rahman


Petaling Jaya: Penyanyi Hael Husaini enggan mengulas isu membabitkan pelajar Malaysia di Korea Selatan yang dikatakan memfitnahnya berhibur di sebuah kelab hiburan gay di Itaewon, Korea Selatan pada November lalu.

Hael, 34, berkata, dia tidak dapat menceritakan perkara sebenar ketika kontroversi itu kerana terikat dengan penggambaran program Master In The House Malaysia di negara berkenaan.

"Sebenarnya dakwaan itu berlaku sebab orang tak tahu kenapa saya berada di sana. Saya pun tak dibenarkan beritahu tujuan apa berada di sana. Jadi, segala-galanya dah terungkai sekarang," katanya yang ditemui pada sidang media Master In The House Malaysia di Petaling Jaya Performing Arts Centre, di sini semalam.

Menurutnya, isu terbabit juga tidak menjejaskannya kerana fokusnya kepada Master In The House Malaysia saja.

"Saya tak nak fikir sangat perkara ini dan ia tak berikan kesan kepada saya. Berhubung tindakan susulan pula, saya memang serahkan sepenuhnya kepada pengurusan saya," katanya.

Terdahulu, pengurusan Hael bercadang mengambil tindakan terhadap pelajar terbabit.

Menerusi perkongsian dari kelab peminat Hael di aplikasi TikTok, tindakan susulan akan diambil kepada pelajar berkenaan di atas tuduhan yang dilihat tidak berasas.

Menerusi ciapan di Twitter, pelajar berkenaan bercerita melihat Hael sedang berseronok di sebuah kelab malam di sana.

Pelajar itu kemudian bertindak memadam ciapan terbabit selepas ia menjadi perbualan ramai.

Dalam perkembangan lain, Master In The House Malaysia akan mula menemui penonton di TV3 mulai 15 Januari ini, setiap Sabtu jam 10 malam.

Selain Hael, program ini turut menampilkan Scha Elinnea, Sharifah Rose, Andi Bernadee dan Meyrasam (kumpulan Cassia) yang akan berguru dengan lapan 'Master' disegani dari Korea Selatan dan Malaysia. Pada setiap episod mereka berlima akan diperkenalkan dengan seorang 'Master' yang disegani dalam industri yang diceburi beliau.

Tanpa mengetahui siapakah 'Master' terlebih dahulu, mereka diberikan cabaran untuk menyiapkan tugasan - tugasan yang diamanahkan oleh Master dalam tempoh dua hari satu malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 6:59 PM