SHARIFAH Rose. FOTO Instagram Sharifah Rose
SHARIFAH Rose. FOTO Instagram Sharifah Rose
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon dan pempengaruh (Instafamous), Sharifah Rose yang terbabit dalam Master In The House (MITH) Malaysia mengakui terkejut apabila mendapati Datuk Seri Siti Nurhaliza ditampilkan sebagai Master dalam program ini.

   Rose, 23, atau nama sebenarnya Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira berkata, setiap peserta MITH tidak mengetahui siapa Master yang diundang kerana ia kejutan dibuat oleh produksi.

   "Saya memang panggil beliau sebagai Mak Iti selama ini. Jadi, saya agak terkejut juga apabila berjumpanya dalam MITH Malaysia. 

   "Namun, hubungan saya dengan Mak Iti memang okey kerana saya selalu juga datang jumpa dia sebelum ini.

   "Dan selepas 'yang itu' pun (putus cinta), saya memang tiada apa-apa isu dengan Mak Iti. Kami selesa berbual, okey saja," katanya kepada Harian Metro.

   Terdahulu, Rose yang menyerlah menerusi drama Kekasih Hati Mr Bodyguard pernah menjalinkan hubungan cinta dengan Aazief Khalid yang juga anak tiri Siti.

   Bagaimanapun mereka mengambil keputusan berpisah sejak September 2020 lalu.  

   Rose berkata, banyak perkara dapat dipelajarinya dengan Siti Nurhaliza semasa dalam MITH Malaysia.

  "Biasanya kami hanya berbual kosong. Tapi menerusi kehadirannya dalam program ini, banyak input berguna saya dapat daripada beliau," katanya.

   MITH Malaysia terbitan Primeworks Studios dengan kerjasama SBS Korea dihasilkan sebanyak 10 episod dan tayangan pertama akan menemui penonton di TV3 pada jam 10 malam ini.

   Rose bersama empat lagi selebriti lain iaitu Hael Husaini, Scha Elinnea, Andi Bernadee dan Meyrasam Cassia akan berguru dengan 8 'Master' disegani dari Korea dan Malaysia.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 5:49 PM