MEYRA tidak sangka dari penari melangkah setapak lagi dalam nyanyian.
MEYRA tidak sangka dari penari melangkah setapak lagi dalam nyanyian.
Ridzuan Abdul Rahman


BERMULA sebagai penari yang aktif mengiringi persembahan artis-artis popular tanah air, Meyrasam bersama tiga rakannya, Sheemal, Shadid dan Ayana membentuk kumpulan vokal yang dinamakan Cassia.

Cassia yang bernaung di bawah Alternate Records & Talents tampil dengan single sulung berentak hip hop berjudul X Perlu pada Disember lalu.

Tuah turut menyebelahi Meyra, 23, atau nama sebenarnya Amera Shamshul Anuar apabila terpilih menyertai Master In The House (MITH) Malaysia terbitan Primeworks Studios Sdn Bhd dengan kerjasama stesen penyiaran, SBS Korea.

"Saya amat bersyukur dan gembira terpilih menyertai program yang diadaptasi daripada program realiti SBS Korea ini. Saya masih baru dalam bidang nyanyian tapi dah berpeluang sertai program popular bersama barisan nama besar.

"Pengalaman sepanjang MITH semuanya menggembirakan tanpa sebarang tekanan," katanya.

Menurutnya, segala urusan bermula daripada layanan kru di SBS Korea dan juga Malaysia serta empat selebriti lain iaitu Hael Husaini, Scha Elinnea, Sharifah Rose dan Andi Bernadee amat baik.

"Program ini memerlukan kami berguru dengan lapan Master disegani dalam lapangan masing-masing iaitu dua dari Korea dan enam Malaysia.

"Sebagai penari, sudah tentu bertemu Master terkenal iaitu Son Sung Deuk, koreografer yang mencipta fenomena K-Pop Idol BTS menjadi pengalaman paling bermakna buat saya.

TAK sabar tunggu reaksi peminat sempena pembabitannya dalam program MITH sebanyak 10 episod.
TAK sabar tunggu reaksi peminat sempena pembabitannya dalam program MITH sebanyak 10 episod.

"Dia adalah idola saya. Dari situ saya dapat memperluaskan lagi ilmu tarian dan pelbagai perkara lagi. Tak semua berpeluang lalui pengalaman ini," katanya.

Biarpun berdebar, Meyra mengakui teruja untuk menonton program sebanyak 10 episod yang akan mula disiarkan pada 15 Januari ini, setiap Sabtu.

"Saya harap penonton yang tengok akan terhibur dengan persembahan saya dan lebih tahu mengenai kumpulan Cassia.

"Saya mulanya rasa rendah diri dengan selebriti lain yang popular tapi mereka layan saya dengan bagus hingga perasaan ini hilang," katanya yang pernah menari mengiringi persembahan Hael dan Andi sebelum ini.

Bercakap mengenai kumpulan Cassia, Meyra berkata, rakan-rakannya menyokong pembabitannya dalam MITH.

"Kami sudah lama kenal sesama sendiri dan setiap perkara akan dibincangkan bersama sebelum keputusan dibuat.

"Apabila saya dapat tawaran sertai MITH, mereka setuju kerana saya bawa nama Cassia. Bahkan ke mana-mana pun saya akan kenalkan diri sebagai Meyrasam Cassia dan secara tak langsung dapat memperkenalkan kami kepada peminat," katanya.

BERSAMA rakan-rakan selebriti lain dalam Master In The House Malaysia.
BERSAMA rakan-rakan selebriti lain dalam Master In The House Malaysia.

Sepanjang kariernya, Meyra pernah mengiringi persembahan Datuk Seri Siti Nurhaliza, Joe Flizzow, Mimi Fly, Zizi Kirana, Sophia Liana dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 6:40 AM