MITH tampilkan 5 artis negara diberi cabaran siapkan tugasan dalam masa 2 hari satu malam
MITH tampilkan 5 artis negara diberi cabaran siapkan tugasan dalam masa 2 hari satu malam
Ridzuan Abdul Rahman


BAKAL menjadi fenomena dan kegilaan peminat.

Begitulah yang dapat diperkatakan mengenai program realiti terbaharu, Master In The House Malaysia (MITH).

Program terbitan Primeworks Studios Sdn Bhd dengan kerjasama stesen penyiaran, SBS Korea ini akan disiarkan sebanyak 10 episod bermula 15 Januari ini, setiap Sabtu jam 10 malam.

MITH menampilkan lima selebriti popular Malaysia iaitu Hael Husaini, Scha Elinnea, Sharifah Rose, Andi Bernadee dan ahli kumpulan Cassia, Meyrasam yang akan berguru dengan lapan master disegani dari Korea Selatan serta Malaysia.

Menariknya, pada setiap episod, mereka berlima akan diperkenalkan dengan seorang 'Master' yang disegani dalam industri yang diceburi beliau.

Tanpa mengetahui siapakah 'Master' terlebih dulu, mereka diberikan cabaran untuk menyiapkan tugasan yang diamanahkan oleh Master dalam tempoh dua hari satu malam.

Dua Master dari Korea Selatan dan enam Master Malaysia yang mempunyai kepakaran serta kredibiliti daripada kepelbagaian bidang dipilih terbabit dalam program yang diadaptasi daripada program realiti SBS Korea ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof berkata, MITH adalah program yang unik kerana selain menyajikan hiburan alternatif kepada penonton, ia turut memberi manfaat kepada lima selebriti popular itu.

"MITH adalah kerjasama strategik antara Primeworks Studios dan SBS Korea. Terbitan bersama ini membuahkan hasil yang sangat memuaskan. Kru penerbitan kami menjalani sesi penggambaran bersama-sama dengan pihak SBS selama 10 hari di Korea Selatan bermula hujung Oktober lalu," katanya.

LIMA artis Malaysia yang terpilih (dari kiri) Scha, Hael, Meyrasam, Andi dan Sharifah Rose.
LIMA artis Malaysia yang terpilih (dari kiri) Scha, Hael, Meyrasam, Andi dan Sharifah Rose.

BABAK menarik dalam program ini.
BABAK menarik dalam program ini.

Menurutnya, kerjasama dengan SBS adalah satu pembaharuan yang cuba dibuat oleh TV3.

"Saya rasa kita belum pernah ada kerjasama begini dengan stesen TV Korea yang begitu gah seperti SBS ini. Manfaatnya besar kepada kami untuk bertukar idea dan menimba pengalaman baharu dalam menyajikan kandungan program yang berkualiti. Kita banyak belajar soal disiplin.

"Penggambaran di Korea Selatan pula untuk beri peluang kepada lima selebriti ini belajar dengan dua Master terkenal iaitu Son Sung Deuk, koreografer yang mencipta fenomena K-Pop Idol BTS dan BamBam, K-Pop Idol yang mencipta nama menerusi kumpulan Got7 sejak 2014 yang juga seorang rapper, penyanyi serta penggubah lagu," katanya.

Menurutnya, mereka dapat melihat bagaimana Master terpilih dan petugas produksi begitu berdisiplin dalam melaksanakan kerja.

"Pengalaman itulah yang ingin diberikan kepada lima selebriti berkenaan. Sung Deuk dan BamBam cukup terkenal di Korea Selatan.

"Jadual mereka padat tapi mereka tetap memberikan kerjasama yang baik. Selepas tiga bulan 'mengurat' barulah mereka memberikan persetujuan," katanya.

Sung Deuk antara individu yang membantu memperkenalkan dan menaikkan nama BTS sehingga menjadi terkenal di seluruh dunia, manakala BamBam berasal dari Thailand yang bekerja keras sehingga berjaya mencipta nama di Korea Selatan.

Barisan Master dari Malaysia ialah penerbit, pengarah dan pelakon, Datuk Yusof Haslam; penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza; legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek; cef selebriti, Sherson Lian serta penerbit dan pengarah animasi Ejen Ali, Usamah Zaid.

Nini berkata, pihaknya dan SBS bersetuju dengan peluang untuk bekerjasama dengan negara lain selepas ini.

"Jangan terkejut jika selepas ini kita ke Indonesia, United Kingdom dan Jepun kerana kita ada Master di seluruh dunia. Peserta selepas ini akan dipilih ikut kesesuaian, kerana mereka berlima serasi, kita akan kekalkan, namun bergantung juga kepada kekosongan jadual mereka.

"Mungkin kita akan buka kepada ahli sukan untuk memberikan lebih variasi kepada program ini," katanya.

NINI (dua dari kanan) bersama Yusof dan penaja bergambar dengan selebriti yang terbabit dalam MITH.
NINI (dua dari kanan) bersama Yusof dan penaja bergambar dengan selebriti yang terbabit dalam MITH.

Sementara itu, Penerbit MITH, Ahmad Azahari Mohamad Ali berkata, dia memperoleh pengalaman baharu apabila melihat produksi SBS Korea melakukan penggambaran.

"Penggambaran 95 peratus dilakukan produksi SBS Korea. Tugas saya hanya untuk menjaga artis dan mencipta kandungan. Setiap selebriti mempunyai kamera sendiri yang ikut sepanjang masa.

"Ia bukan rakam dan kena berhenti. Satu segmen dibuat dari awal sampai habis. Sebanyak 20 kamera digunakan penggambaran dan itu juga adalah jumlah minimum.

"Ini berbeza dengan produksi Malaysia yang hanya menggunakan empat kamera. Apabila kembali ke Malaysia, cabaran terpaksa dihadapi apabila menjalani penggambaran ketika pandemik kerana kru sekitar 20 orang memerlukan lokasi yang besar," katanya.

Sementara itu, Hael berterima kasih kepada Primeworks Studios Sdn Bhd dan SBS Korea kerana memberikannya peluang dalam MITH.

"Satu pengalaman baharu bagi saya. Selalunya saya berada di atas pentas nyanyian dan berada di dalam 'circle' saya yang saya rasa zon selesa.

"Tapi untuk program ini amat mencabar apabila saya banyak belajar benda baharu dengan Master yang sangat disanjungi dalam bidang masing-masing. Ia sedikit sebanyak membawa saya keluar dari kepompong saya," katanya.

Master In The House Malaysia ditaja oleh CheongKwanJang (CKJ), penaja bersama Lifebuoy dan dikuasai oleh Samsung Galaxy Z Flip3 5G.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 6:00 AM