Scha Ellinea
Scha Ellinea
Ridzuan Abdul Rahman


Petaling Jaya: Pelakon Scha Ellinea yang mengalami gangguan mental kronik sehingga perlu berjumpa pakar mengakui penyakitnya itu semakin teruk ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Scha, 22, atau nama sebenarnya Nur Azleen Natasha Mohamed Mubeen yang mengalami masalah 'schizophrenia' iaitu masalah kesihatan berkaitan mental dan kebimbangan melampau (anxiety) berkata, perkara ini terjadi kerana dia terlalu banyak berfikir.

"Semasa berkurung di rumah kerana PKP, mungkin saya terlampau banyak fikir itu ini. Alhamdulillah selepas pergi Korea Selatan, keadaan saya macam tenang sikit tak payah jumpa doktor setiap minggu. "Sekurang-kurangnya, saya hanya jumpa doktor sebulan sekali berbanding sebelum ini setiap minggu. Mungkin saya perlukan persekitaran baharu dan udara yang segar.

"Sekarang saya masih lagi berjumpa doktor sebulan sekali dan mendapat pemantauan mereka," katanya yang ditemui pada sidang media Master In The House Malaysia di Petaling Jaya Performing Arts Centre, di sini, semalam.

Scha yang ke Korea Selatan untuk rakaman program Master In The House Malaysia terbitan TV3 November lalu berkata, dia mula mengalami masalah itu sejak di sekolah menengah, namun merahsiakannya tanpa memberitahu sesiapa.

"Kebelakangan ini, kesihatan mental perlukan satu tumpuan juga, jadi saya pun kongsi dengan orang mengenai masalah saya. Peminat tanya bagaimana saya hadapi perkara ini dan saya banyak berkongsi dengan mereka juga.

"Paling kritikal semasa PKP kedua inilah sehingga saya masuk hospital dua hari. Itu yang paling teruk dan rasa 'lost' sekejap. Ada kawan-kawan dan keluarga ambil berat tanya khabar," katanya.

Menurutnya, semasa di Korea Selatan juga, dua kakitangan Media Prima Berhad perlu menjaganya untuk mengambil ubat.

"Saya juga turut berdepan masalah sukar tidur pada waktu malam. Saya memang tak boleh tinggal berseorangan dan tidur seorang. Saya akan berasa takut dan perlukan teman.

"Pernah berlaku saya tak dapat tidur semalaman dan dalam jam 8 pagi barulah saya dapat tidur. Bukan sebab takut tapi memang tak boleh nak tidur kalau seorang diri. Jadi saya bawa kawan baik atau pembantu peribadi untuk temankan saya tidur dan menemani saya ke mana-mana saja," katanya.

Menurutnya, dia juga berasa gemuruh apabila berada di tempat yang ramai orang.

"Ini apa yang saya hadapi. Memang ada yang bagi idea untuk saya cari teman hidup dengan berkahwin, tapi rasanya buat masa ini saya nak bina nama dalam industri, mahu balas jasa keluarga dulu baru kahwin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 7:44 PM