Hanis Aliaa Hidzir

SEBUAH program terbaharu terbitan Primeworks Studios dan SBS Korea berjudul Master In The House Malaysia (MITH) bakal menemui penonton TV3 pada setiap Sabtu mulai 15 Januari 2022, jam 10 malam.

Rancangan 10 episod yang menampilkan lima selebriti popular Malaysia iaitu Hael Husaini, Scha Elinnea, Sharifah Rose, Andi Bernadee dan Meyrasam (kumpulan Cassia) akan berguru dengan lapan 'Master' disegani dari Korea dan Malaysia.

Setiap episod, kelima-lima selebriti akan diperkenalkan dengan seorang 'Master' yang disegani dalam industri diceburi 'Master' berkenaan

Tanpa mengetahui siapakah 'Master' berkenaan, mereka akan diberikan cabaran untuk menyiapkan tugasan diamanatkan 'Master' dalam tempoh dua hari.

MITH menampilkan dua 'Master' Korea dan enam 'Master' Malaysia yang mempunyai kepakaran dan kredibiliti dari kepelbagaian bidang.

Antara 'Master' dari Korea Selatan yang ditonjolkan ialah Son Sung Deuk, koreografer yang mencipta fenomena K-Pop Idol BTS terutamanya koreografi 'Butter' yang sedang rancak dalam kalangan Army.

Barisan 'Master' dari Malaysia pula menampilkan Datuk Yusof Haslam, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Rashid Sidek, Sherson Lian, serta pencipta dan pengarah siri animasi Ejen Ali, Usamah Zaid.

Ikuti pengembaraan istimewa Hael Husaini, Scha Elinnea, Sharifah Rose, Andi Bernadee dan Meyrasam dalam Master In The House Malaysia mulai 15 Januari 2022, setiap Sabtu, jam 10 malam di TV3.

Penonton juga boleh menyaksikan program ini secara strim langsung dalam definisi tinggi (HD) menerusi tonton dan hangatkan #MasterInTheHouseMY di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 7:57 PM