TAJUL dan Wany Hasrita. FOTO Arkib NSTP
TAJUL dan Wany Hasrita. FOTO Arkib NSTP
Norhayati Nordin


PENYANYI lagu Sedalam Dalam Rindu, Tajul Arif, 20, mengakui hubungan keruh yang melanda dengan rakan duetnya Wany Hasrita sebelum ini, kini sudah kembali jernih.

Tajul atau nama sebenarnya Tajul Arif Noor Md Shari berkata, memang berlaku perselisihan faham besar di antaranya dengan Wany, 26, sehingga mereka tidak bertegur sapa agak lama.

“Apapun, saya bersyukur perselisihan faham itu berjaya diselesaikan dan kini kami sudah berbaik dan boleh bekerjasama semula.

“Namun, hubungan baik ini hanya di atas dasar profesional kerana kerja, dan bukan membabitkan urusan peribadi termasuk bercinta.

“Hubungan cinta antara saya dan Wany sudah berlalu dan tak mungkin bertaut kembali. Apapun, terima kasih kepada peminat yang masih menyokong gandingan kami,” katanya.

Terbaru, Tajul dan Wany muncul dengan single ketiga mereka berjudul Aku Serius ciptaan komposer Aidit Alfian dan lirik ditulis oleh Teguh Budiman.

Terdahulu, pasangan duet remaja persis Allahyarham Achik Spin dan Siti Nordiana itu muncul dengan dua single duet iaitu Di Sana Cinta Di Sini Rindu dan Rindu Dalam Benci.

Hubungan mesra Tajul dan Wany mula jadi perhatian kembali apabila mereka tidak lagi kelihatan janggal berkomunikasi sepanjang terbabit dalam aktiviti promosi single duet, Aku Serius yang giat dilakukan bersama.

Mengulas juga dakwaan mengenai percubaan Tajul mendekati semula Wany selepas penyanyi lagu Menahan Rindu itu dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Paling Popular BH pada Oktober lalu, ia dinafikan Tajul dengan tegas.

“Saya dan Wany sudah berbaik semula kerana kami utamakan perjalanan karier seni yang baru dibina ini. Apatah lagi, bukan mudah untuk kami berada pada tahap seperti sekarang.

“Saya tidak mendekati Wany dengan niat untuk menumpang populariti dirinya yang kini berada di puncak kejayaan. Saya cuma bersikap profesional dalam soal kerja,” katanya.

Apapun, lirik video rasmi single duet Aku Serius dendangan Tajul dan Wany kini sudah mencatat lebih 280,000 tontonan di YouTube selepas tiga minggu dimuat naik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 11:54 AM