Farawahida dan Ezad
Farawahida dan Ezad
Syafil Syazwan Jefri

 

BENCANA banjir yang berlaku pada 18 Disember lalu turut menimpa beberapa selebriti tanah air dan menyebabkan kerugian harta benda.

Bagi penyanyi, Ezad Lazim, bencana itu dilihat dan diterima dengan hati terbuka kerana ia adalah ujian daripada Allah kepadanya.

"Ini kali pertama saya berdepan pengalaman banjir. Terkejut juga dengan apa yang berlaku, tapi, alhamdulillah, kerana berkat sokongan dan bantuan buatkan saya rasa bersyukur.

"Saya kena berfikiran terbuka sebab ada orang lain yang mana ujian mereka lebih berat lagi. Bukan saya sahaja, ramai orang terkesan. Saya anggap ujian dari Allah untuk kita yang terpilih. Semoga Allah berikan lebih semangat kepada kita untuk berjiwa lebih besar," katanya kepada Harian Metro.

Ezad juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang sudi menghulurkan bantuan kepadanya.

"Pada hari pertama, ramai datang membantu antaranya rakan artis dan badan. ukan kerajaan (NGO). Sekarang dah tak banyak barang yang perlu dibersihkan. 

"Barang-barang yang penting dah banyak cuci cuma tinggal karpet dan sebagainya. Ada barang yang tak dapat digunakan dan tak boleh buat apa-apa," katanya.

Bagi penyanyi, Farawahida pula, bencana banjir yang berlaku di kediamannya di Seksyen 23, Shah Alam adalah pengalaman pertama buatnya dan menjadi pengalaman yang tidak akan pernah dilupakan.

"Sepanjang 36 tahun hidup, saya tak pernah berdepan bencana banjir dan ini adalah pertama. Sejak setahun lalu, saya menetap di kawasan ini dan tak pernah berlaku banjir sebegini," katanya.

Menurutnya, bencana yang berlaku diterima dengan reda dan menurutnya, segala yang kita miliki di muka bumi ini hanyalah pinjaman semata-mata.

"Apa sahaja yang ada dalam dunia ini adalah pinjaman. Tak ada yang akan kekal dengan kita. Harta, anak, keluarga, semua itu di dunia sahaja. 

"Ketika bencana banjir ini melanda, saya sedar ramai lagi yang diuji dengan ujian lebih berat.

"Semasa nampak bot lalu di hadapan rumah dan baca di media sosial, saya nampak lebih ramai lagi orang yang lebih susah dari kita," katanya.

Fara juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang menghulurkan bantuan kepadanya serta mangsa banjir yang lain.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat saya yang turut membantu membersihkan rumah saya. Bahkan, ada yang menghulurkan bantuan wang ringgit.

"Saya lihat, ramai juga yang turun padang membantu mangsa-mangsa banjir dan kerjasama antara kita untuk sama-sama membantu membuatkan saya rasa sangat berbangga. Jiran juga ada yang turut memberikan sumbangan makanan dan sebagainya," katanya.

Selain Ezad dan Fara, antara selebriti yang turut terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini termasuklah pelakon dan pelawak, Ebby Yus, dan penyanyi, Afieq Shazwan.

 

#kw Ezad Lazim, Farawahida

#loc Kuala Lumpur

end

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 5:55 PM