EZAD (kanan) bersama Allahyarham adik bongsunya, Mohd Rizal.
EZAD (kanan) bersama Allahyarham adik bongsunya, Mohd Rizal.
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penyanyi, Ezad Lazim, 42, reda dengan pemergian adik bongsunya, Mohd Rizal Mohamad Lazim, 35, yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru- paru jam 3 petang, hari ini.

Mohd Rizal yang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, sejak minggu lalu ditidurkan oleh doktor kerana jantung bergerak laju serta dikesan ada jangkitan kuman dalam darah pada 18 September lalu.

Ezad ketika dihubungi berkata, dia reda dengan pemergian itu dan ketentuan Allah buat Allahyarham adiknya.

"Saya tak dapat pun berjumpa arwah walaupun sudah sampai ke Kedah, semalam. Ahli keluarga saya yang lain juga tidak dapat melawat arwah sepanjang dia sakit dan dirawat di hospital," katanya kepada Harian Metro.

Menerusi laporan Harian Metro sebelum ini, Ezad memaklumkan adiknya itu dimasukkan ke hospital berkenaan selepas kurang sihat hampir sebulan akibat demam yang tidak menentu, namun ia bukan disebabkan jangkitan Covid-19.

Allahyarham Mohd Rizal yang masih bujang bekerja sebagai kakitangan kebudayaan di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok.

Mohd Rizal juga tinggal bersendirian selepas ibu bapa mereka meninggal dunia.

Ezad berkata, pengorbanan Allahyarham pada keluarga sangat besar kerana menjaga ibu bapa di kampung sehingga bapa mereka menghembuskan nafas terakhir pada 2019 dan ibu pula pada Ogos tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 5:56 PM