Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Tindakan seorang suami yang turut membotakkan kepala sebagai tanda sokongan ke atas isterinya yang disahkan menghidap kanser ovari mengundang hiba dalam kalangan warganet.

Mohd Fairul Mohd Azis, 37, berkata isterinya, Norhaliza Yahya, 47, mula mengalami masalah keguguran rambut selepas melakukan dua sesi rawatan kemoterapi.

Menurutnya, selepas isteri menjalani pembedahan membuang rahim, doktor memberi pilihan sama ada mahu makan ubat atau melakukan kemoterapi kerana status kanser pada tahap satu C.

Katanya, isterinya membuat keputusan mengambil ubat, namun didatangi kesakitan teruk sehingga tidak boleh berbaring, duduk mahupun berdiri, empat bulan kemudian.

"Kami pergi ke hospital untuk membuat pemeriksaan dan doktor memaklumkan ada ketumbuhan di bawah usus pula. Tapi tak boleh buat pembedahan sebab ia berada betul-betul di bahagian penahan usus. Cara lain adalah buat kemoterapi.

"Sesi pertama kemoterapi, selama dua minggu isteri tak boleh bangun. Saya tak kerja sebab kena jaga dia. Setiap hari kami nangis bersama. Dalam tempoh itu juga, rambut dia mula gugur, jadi potong pendek.

"Selang empat hari (rambut) semakin banyak gugur. Jadi, semalam dia cakap nak botak. Bila dah licin, tiba-tiba dia nangis. Disebabkan tak nak dia bersedih, saya pun botakkan rambut sama. Saya nak bagi dia bertenang," katanya.

FAIRUL ketika membotakkan kepala isterinya.
FAIRUL ketika membotakkan kepala isterinya.

Menurutnya, isterinya perlu menjalani enam sesi rawatan kemoterapi bagi memastikan sel kanser mati.

Berkongsi lanjut, Mohd Fairul berkata, kanser ovari itu dikesan hanya selepas terdapat ketumbuhan yang pecah dalam perut pada Disember tahun lalu.

"Pada mulanya tak jangka ia adalah ketumbuhan. Ketika itu isteri mengadu macam ada ketulan keras di perut. Setiap kali makan dia berasa perut tegang.

"Jadi, pada awal tahun ini saya bawa dia buat pemeriksaan di hospital, malangnya doktor beritahu ia dah pecah dalam perut dan perlu lakukan pembedahan," katanya.

Menurutnya, doktor memaklumkan isterinya mempunyai kanser ovari apabila membuat pemeriksaan dua minggu kemudian lalu dirujuk ke Institut Kanser Negara di Putrajaya.

Katanya, isterinya dimaklumkan perlu menjalani pembedahan membuang rahim, namun dia meminta tempoh dan bertahan dengan ubat dalam masa sebulan sebelum bersetuju untuk membuat pembedahan.

"Apa yang menjadi kekuatan isteri ketika ini adalah kata-kata semangat daripada rakan dan orang sekeliling yang turut mengalami nasib sama.

"Isteri sudah reda dan 'move on' selepas mendapat banyak kata-kata semangat daripada rakannya yang juga pejuang kanser.

"Orang yang ada kanser ini cepat terasa hati. Kalau kita cakap perkataan dia tak suka, memang cepat 'bad mood'. Sekarang ini apa saja dia cakap, saya iyakan saja. Saya tak nak dia banyak berfikir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 2:09 PM