Zaara Talita

Kuala Lumpur :Pelakon Oktovia Manrose, 30, mengakhiri status sebagai ibu tunggal apabila sah bergelar isteri kepada bekas pemain bola sepak Melaka United iaitu Mohamad Khairul Efsan Mdisa, malam semalam.

Majlis berkonsepkan perkahwinan tradisional dengan tema Taman Bunga itu diadakan di Magica Quill City Mall, di sini, jam 9.30 malam dan dihadiri kira-kira 250 tetamu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Oktovia atau nama sebenarnya Wan Syamira Putri Oktovia Wan Syahman dinikahkan bapanya yang juga penyanyi dangdut, Iwan atau nama sebenarnya Wan Syahman Wan Yunus dengan disaksikan jurunikah, Ustaz Mohd Fairudz Saderi.

Efsan segak mengenakan baju Melayu putih, manakala Oktovia kelihatan anggun mengenakan busana rona sama hasil sentuhan pereka fesyen Ezuwan Ismail.

Antara selebriti yang hadir adalah Uqasha Senrose, Kamal Adli, Emma Maembong, Nelydia Senrose dan Raysha Rizrose yang juga rakan-rakan rapat Oktovia.

Oktovia menerima mas kahwin sebanyak RM80 dengan sebentuk cincin berlian dan hantaran lima dulang berbalas tiga kepada pihak lelaki.

Oktovia pernah berkahwin dengan Mohd Izat Abd Rahman pada 23 Februari 2011, namun berakhir dengan perceraian pada 2015.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rayyan Zulkarnain, 10.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 12:12 PM