OKTOVIA bukan mahu terlalu berahsia namun selesa bergelar ibu tunggal.
OKTOVIA bukan mahu terlalu berahsia namun selesa bergelar ibu tunggal.
Najiy Jefri


SIAPA sangka pelakon jelita, Oktovia Manrose yang dikenali ramai ini sebenarnya memegang status sebagai ibu tunggal sejak lapan tahun lalu.

Oktovia berkata, dia bukan mahu terlalu berahsia mengenai kehidupan peribadinya, sebaliknya lebih selesa untuk tidak bercerita perkara yang sudah lama berlaku.

"Saya pernah berkahwin, bercerai dan kini membesarkan anak tunggal bernama Muhammad Rayyan Zafariel yang berusia lapan tahun. Disebabkan perkahwinan terdahulu menyebabkan saya lebih suka untuk berada dalam zon selesa di situ sahaja. Ia secara tak langsung membuatkan saya tidak terlalu berkongsi mengenai hal peribadi.

"Begitu juga di media sosial, saya jarang berkongsi hal peribadi, tetapi lebih kepada kerjaya sahaja," katanya pada majlis Sidang Media dan Menandatangani Kontrak Perjanjian Absolute Talents & Management di Bangsar, Kuala Lumpur.

OKTOVIA tak serik gagal dalam rumah tangga namun belum bersedia terima kehadiran lelaki.
OKTOVIA tak serik gagal dalam rumah tangga namun belum bersedia terima kehadiran lelaki.

Oktovia yang juga kakak pelakon, Aprena Manrose ini juga mengakui dia mendirikan rumah tangga pada usia masih muda dan menyifatkan apa yang berlaku dalam hidupnya sebagai lumrah kehidupan.

"Bagi saya apa yang berlaku adalah lumrah kehidupan. Kekuatan yang saya ada ini pun daripada bapa. Walaupun kami jarang bertemu, tetapi dia tidak pernah menilai dan percaya saya akan jadi individu lebih baik," katanya yang berkahwin ketika berusia 20 tahun pada 2011 sebelum bercerai dua tahun kemudian.

Menurut Oktovia, anak tunggalnya adalah anugerah dan amanah Allah yang perlu dijaga dengan baik.

"Bukan mudah membesarkan anak pada usia muda. Apa yang pasti, anak menjadi semangat kerana dia saya kumpul kekuatan dan lupakan kisah yang berlaku sebelum ini.

"Anak ini amanah dan saya perlu lakukan yang terbaik untuk dia. Saya dan bekas suami berhubung melalui ibunya demi anak," katanya.

Menurut Oktovia, kegagalan dalam rumah tangganya tidak membuatkan dia serik atau menutup pintu hatinya memerima kehadiran lelaki.

"Setakat ini saya tidak terlalu memikirkan mengenai perkahwinan mungkin disebabkan pengalaman dahulu membuatkan saya lebih senang berada dalam zon selesa sekarang ini.

"Saya tidak serik untuk berkahwin lagi sebab saya pun ada juga rasa sunyi, tapi mungkin sebab saya ada anak dan ahli keluarga lain yang buat saya tidak terlalu memikirkan perkara itu.

"Memang ada lelaki yang cuba dekati dalam hidup saya, tetapi saya belum bersedia ke arah itu. Biar masa yang menentukan segalanya," katanya.

Menutup cerita mengenai perihal peribadi, Oktovia kini mengakui mempelajari ilmu nyanyian kerana minatnya ke arah itu.

"Ramai yang tak tahu sebenarnya saya minat menyanyi cuma selama ini tak ambil serius kerana belum bersedia sepenuhnya.

"Tapi, selepas beberapa tahun dalam industri saya nekad untuk mempelajari teknik nyanyian dan mengenali genre yang bersesuaian untuk saya bawakan.

"Saya berharap percubaan saya dalam bidang nyanyian ini akan mendapat respons positif daripada peminat," katanya yang meminati muzik R&B.

HARAP percubaan dalam bidang nyanyian dapat respons positif daripada peminat.
HARAP percubaan dalam bidang nyanyian dapat respons positif daripada peminat.

Menyentuh mengenai keputusannya untuk berada di bawah pengurusan Absolute Talents & Management selepas hampir lapan tahun bergerak sendiri, Oktovia berkata, jadual kariernya kini lebih tersusun.

"Hampir lapan tahun saya bergerak semdiri tanpa berada di bawah mana-mana syarikat pengurusan, tapi kali ini saya nekad untuk bersama Absolute Talents & Management kerana percaya dengan kemampuan mereka.

"Lagipun jadual kerja saya lebih tersusun sepanjang tempoh berada di syarikat pengurusan itu. Malah, kerja yang dijalankan juga lebih teratur dan sistematik.

"Pengurusan ini juga sering memaklumkan segala perkembangan dan apa yang perlu saya perbaiki untuk terus bertahan dalam bidang seni," katanya.

Kata Oktovia, dia tidak pernah rasa terkongkong apabila berada di bawah syarikat pengurusan.

"Sebenarnya pemilik syarikat pengurusan ini adalah kawan baik saya iaitu Ben Ali dan isteri, Nadiyah Shahab. Mereka tidak pernah menetapkan sebarang klausa atau syarat.

"Sebaliknya mereka memberi saya kebebasan untuk melakukan apa sahaja aktiviti dalam bidang seni. Walaupun pernah bergerak sendiri, tapi saya tak rasa dikongkong malah lebih baik bersama mereka," katanya.

Selain Oktovia, sembilan selebriti lain turut bernaung di bawah pengurusan sama selama setahun iaitu Nadiyah Shahab, Ikmal Amry, Scha Elinnea, Harris Anuar, Nabil Aqil, Yasmine Ow,Nurin Afiqah, Aisar Khaleed dan Najla Shamsul.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2020 @ 6:00 AM