OKTOVIA Manrose. FOTO Mahzir Mat Isa
OKTOVIA Manrose. FOTO Mahzir Mat Isa
Norhayati Nordin


Meskipun mewarisi darah seni ibu bapanya, pelakon Oktovia Manrose, 26, nyata memiliki impian tersendiri sebagai anak seni.

Kebanyakan pelakon baru seangkatannya mungkin terkejar-kejar peluang menjadi heroin drama, namun tidak bagi Oktovia atau Wan Shamira Putri Oktovia Wan Syahman.

Oktovia atau mesra disapa Via mengakui masih banyak ilmu lakonan perlu ditimba sebelum benar-benar bersedia menggalas watak utama.

Sejak mula berlakon pada 2013, Via tidak menafikan rezeki watak diterimanya lebih terarah sebagai pelakon pembantu.

Katanya, selama ini bukan tidak pernah mendapat tawaran untuk watak utama tetapi dia menolak kerana belum bersedia menerimanya.

Bagi Via, ilmu lakonan dimiliki masih sedikit dan banyak kelemahan perlu diperbaiki.

“Lagi pun, saya selesa dengan perjalanan karier seni saya kini yang tidak naik secara mendadak kerana saya mahu kekal lama.

“Apatah lagi jauh di lubuk hati saya menyimpan impian untuk menjadi pelakon sehebat Nabila Huda satu hari nanti,” katanya.

Via yang kini masih terikat dengan penggambaran drama Dendam Aurora di Astro, teruja mendapat peluang berlakon bersama Nabila.

Drama Dendam Aurora sebanyak 100 episod turut memberi peluang padanya melakonkan watak serius sebagai gadis psiko bernama Hana.

Anak kedua daripada tiga beradik hasil perkongsian hidup penyanyi dangdut, Iwan Syahman bersama pelakon dan penerbit drama, Allahyarham Rosnah Mohd Noor ini mengagumi bakat Nabila. Malah tanpa berselindung Via mengakui Nabila adalah idolanya.

“Melihat lakonan Nabila yang begitu berkesan dalam apa saja watak sama ada baik, wanita miskin mahupun antagonis, dia memang sangat berbakat.

“Apa yang hebatnya, lakonan Nabila meninggalkan kesan kepada penonton. Sebut saja apa drama mahu pun filem dilakonkan, setiap karakter lakonan Nabila pasti berkesan dan mendapat pujian,” katanya.

Berkongsi pengalaman berlakon dalam Dendam Aurora bersama Nabila,Via melihat Nabila seorang yang sangat ceria dan mesra.

Katanya, walaupun sudah memberi lakonan terbaik dan dia sebagai pelakon baru masih lagi terkial-kial, Nabila tidak pernah merungut.

“Dia sentiasa kelihatan ceria, gembira dan mesra dengan semua kru produksi di lokasi. Bagi saya, aura positif Nabila di lokasi penggambaran sangat besar,” katanya.

Turut mempersiapkan diri untuk menceburi bidang nyanyian, Via berkata dia sentiasa bersikap terbuka pada peluang diterima.

Selain berlakon, dia minat menyanyi dan bakat itu diwarisi daripada bapanya.

“Saya juga pernah terbabit menghasilkan single Kau Pilih Dia dengan Warner Music.

“Apapun, itu pengalaman awal beberapa tahun lalu sebagai percubaan saya. Kini, saya perlu makin bersedia mengatur perancangan.

“Jika tiada aral, saya akan masuk ke studio untuk merakam single baru yang bergenre pop balada,” katanya.

Apa pun kata Via, masih terlalu awal untuk dicerita secara terperinci mengenai pembikinan single itu kerana semuanya masih dalam proses perbincangan dan perancangan.

“Rasanya kurang bagus untuk saya bercerita lanjut. Apapun, saya mengharapkan perancangan untuk rakaman single ini berjalan lancar tidak lama lagi,” katanya.

Memiliki vokal serak basah, Via mengakui minatnya lebih kepada irama R&B tetapi sebagai permulaan, genre muzik pop balada adalah pilihan tepat buatnya.

Anak kekuatan Via

Bergelar ibu tunggal pada usia muda satu pengalaman hidup yang memeritkan tetapi Via reda.

Baginya, tiada apa yang perlu dikesalkan kerana itulah jodoh.

Katanya, kehidupan perlu diteruskan dan ibu kepada Muhammad Rayyan Zafarrel, 6, ini mengakui anak lelakinya adalah kekuatan semangat buatnya.

“Apatah lagi banyak pesanan arwah mama kepada saya dahulu supaya gigih bekerja mencari duit untuk membesarkan Rayyan.

“Melihat Rayyan, sering mengingatkan saya pada pesanan mama yang memang takkan saya lupakan seumur hidup.

“Saya gigih bekerja hingga kini memang sepenuhnya buat memberi keselesaan hidup kepada Rayyan,” katanya.

Mengenai pengganti, Via berkata kini memang dia ada berkawan rapat dengan seorang lelaki cuma tidak mahu terburu-buru melangkah ke alam perkahwinan buat kali kedua.

“Saya tidak mahu kelihatan terdesak. Bagi saya, cukuplah buat masa ini saya dan ‘si dia’ berkawan rapat dulu dan benar-benar mengenali hati budi masing-masing.

“Apatah lagi saya akui pernah berasa serik untuk berkahwin kali kedua sebelum dipertemukan Allah dengan ‘si dia’.

“Dia sangat memahami saya dan tidak mendesak untuk kami segera berumah tangga. Apatah lagi, kami berdua harus stabilkan karier dahulu.

“Dia terbabit dalam bidang perniagaan dan masih baru. Jadi, sudah pasti perlu mengukuhkan ekonomi diri,” katanya.

Via juga menafikan dirinya sombong tetapi menyifatkan dirinya sebagai seorang yang sangat pemalu. Bagaimanapun katanya, itu tidak bermakna dia sukar didekati.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 5:11 AM