SINGLE Biar Aku Simpan kolaborasi bersama kumpulan Bimasakti.
SINGLE Biar Aku Simpan kolaborasi bersama kumpulan Bimasakti.
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON, Oktovia Manrose kini mengembangkan bakat seni apabila merakamkan single Biar Aku Simpan nyanyian bersama kumpulan Bimasakti yang diterbitkan syarikat rakaman Life Record.

Single yang dilancarkan pada 5 Mac lalu dianggap percubaan berani Oktovia atau nama sebenarnya Wan Syamira Putri Oktovia Wan Syahman menceburkan diri dalam bidang nyanyian selepas lapan tahun aktif berlakon.

"Ikutkan saya memang minat menyanyi dan sedar ada bakat ke arah itu, cuma perlu dia

sah. Sebenarnya, dulu lagi sudah ada peluang menyanyi, tapi tak nak terburu-buru.

"Saya sendiri berasa belum cukup bersedia. Saya tidak mahu menyanyi seperti melepaskan batuk di tangga. Biar ada ilmu atau sekurang-kurangnya ambil pengalaman daripada orang lain, baru saya berani keluar dari zon selesa.

"Menerusi projek kerjasama dengan kumpulan Bimasakti ini pun saya banyak timba pengalaman dan belajar teknik tertentu mengenai muzik daripada mereka," katanya.

Oktovia yang juga kakak pelakon, Aprena Manrose berkata, peluang merakamkan lagu itu hadir daripada anggota Bimasakti iaitu Jim.

OKTOVIA optimis untuk merakamkan single solo.
OKTOVIA optimis untuk merakamkan single solo.

"Pada mulanya saya tidak menjangka dia tawarkan peluang ini. Jim sendiri bukan asing kerana sudah menerbitkan lagu untuk ramai penyanyi seperti Khai Bahar, Sheryl Shazwanie dan Azzam Sham.

"Saya pun selalu merakamkan lagu demo untuknya. Cuma lamaran untuk membuat penampilan dalam lagu ini, saya sahut dengan optimis. Sejujurnya, saya menyukai bahagian korus lagu ini yang sangat melankolik," katanya.

Tidak sekadar membuat penampilan khas untuk lagu berkenaan, Oktovia yang juga ibu tunggal seorang anak, Muhammad Rayyan Zafariel ini turut menjadi model muzik video yang sama.

"Kebetulan saya sudah faham keseluruhan isi cerita lagu ini, jadi ketika ditawarkan untuk menjadi model muzik video, saya terus bersetuju," katanya.

Dalam masa sama, Oktovia mengakui tidak menolak sekiranya rezeki sekiranya mendapat tawaran merakamkan lagu solo.

"Saya anggap kerjasama dengan kumpulan Bimasaksi ini sebagai pemanas enjin. Selepas ini mungkin lebih yakin nak menyanyi solo pula.

"Secara peribadi saya sukakan genre lagu hip hop, R&B dan pop balada. Saya paling minat Ariana Grande, Sarah Raisuddin, Jaclyn Victor, Melly Goeslow, Kris Dayanti dan terbaharu, Sarah Suhairi dan Aina Abdul," katanya yang pernah menjadi penari kebudayaan di Istana Budaya

Dalam perkembangan lain, Oktovia terbabit dalam penggambaran drama Hari Kita Jatuh Cinta terbitan Zeel Production bagi siaran Awesome TV.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mac 2021 @ 6:23 AM