OKTOVIA Manrose bersama suami. FOTO Arkib NSTP
OKTOVIA Manrose bersama suami. FOTO Arkib NSTP
Zaara Talita

Kuala Lumpur: "Ini ujian buat dirinya. Dia sering berdepan dengan ujian yang sama. Semoga dia mendapat hidayah. Itu saja saya boleh cakap," kata pelakon, Oktovia Manrose, 33, mengenai kontroversi Aliff Aziz bersama isterinya, Bella Astillah dan Ruhainies.

Pernah berdepan kontroversi yang sama, Oktovia berkata, dia kini dalam fasa berubah ke arah lebih baik dan enggan mengenang kisah hitam lalu.

"Saya pun tidak tahu bagaimana hendak mengulas mengenai perkara. Apatah lagi, saya sendiri pernah terpalit kontroversi dengan Aliff. Jadi, kalau boleh saya tidak mahu lagi memandang perkara dan kisah yang sudah lama berlalu.

"Lagipun, saya juga sudah ke arah memperbaiki diri menjadi lebih baik. Malah, saya mendoakan dia berubah menjadi lebih baik," katanya.

Pada 2019, nama Aliff dan Oktovia terpalit kontroversi dan menjadi topik bualan hangat netizen selepas Bella mendedahkan suaminya curang dengan pelakon itu.

Oktovia pernah mendirikan rumah tangga dengan Mohd Izat Abd Rahman pada 2011, namun bercerai pada 2015.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan anak lelaki, Muhammad Rayyan Zulkarnain yang kini berusia 13 tahun.

Oktovia kemudiannya berkahwin dengan pemain bola sepak, Mohamad Khairul Efsan Md Isa, 33, pada 21 Disember 2021 dan dikurniakan anak perempuan yang kini berusia dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2024 @ 4:17 PM