Hanis Aliaa Hidzir

SLOT Akasia TV3 tampil dengan drama bersiri terbaharu berjudul Kisah Cinta Kita yang bersiaran sejak 26 November 2021.

Drama 28 episod ini menyaksikan gandingan pelakon hebat seperti Aedy Ashraf, Amelia Henderson, Datuk Jalaludin Hassan, Datin Seri Maria Farida, Khaty Azian, Ikmal Amry dan ramai lagi.

Diarahkan oleh Riza Baharudin, drama ini mengisahkan tentang Aleesa (Amelia Henderson) didatangi Amer (Aedy Ashraf) dan diminta menyamar sebagai Natasha yang telah menghilangkan diri kerana mereka berdua mempunyai wajah yang sama.

Amer berjanji menanggung kos pembedahan ibunya, Hanisah (Datin Seri Maria Farida) sekiranya Aleesa bersetuju menjadi Natasha demi kesihatan Datuk Ramzi (Datuk Jalaludin Hassan).

Aleesa bersetuju memandangkan dia hanya perlu menyamar untuk tempoh masa sekejap dan ke hospital untuk bercakap dengan Datuk Ramzi yang masih belum sedarkan diri.

Sementara itu, Natasha yang menghilangkan diri membuat keputusan kahwin lari bersama Zuhairi (Ikmal Amry) di sempadan apabila datuknya, Datuk Ramzi mahu memisahkannya dengan Zuhairi dan ingin mengahwinkannya dengan Amer.

Sejak kehilangan Natasha, Datuk Ramzi diserang sakit jantung dan dimasukkan ke hospital.

Jalan cerita drama ini bertambah menarik apabila Natasha ditemui dalam keadaan wajahnya terbakar akibat kemalangan jalan raya.

Amer mengarahkan Aleesa meneruskan lakonannya sebagai Natasha namun Aleesa tidak bersetuju kerana Datuk Ramzi sudah sedarkan diri serta itu bukan perjanjian asal mereka.

Namun, Aleesa terpaksa bersetuju dan meneruskan penyamaran dengan perasaan marah dan benci kepada Amer apabila Amer mengugut menghentikan pembiayaan kos perubatan ibunya, Hanisah.

Aleesa mengesyaki Amer merancang untuk membolot harta Datuk Ramzi selepas ternampak Datin Laila (Khaty Azian) dan Amer dalam keadaan mencurigakan. Apakah yang akan berlaku nanti?

Jangan ketinggalan menyaksikan Kisah Cinta Kita pada setiap Isnin sehingga Jumaat, jam 7 malam di slot Akasia TV3.

Siri rantaian yang sarat dengan drama dan perihal keluarga ini juga boleh diikuti menerusi platform penstriman Disney+ Hotstar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 9:37 AM