MISHA Omar
MISHA Omar
Georgie Joseph 

Kuala Lumpur: Penyanyi Misha Omar, 39, terus unggul apabila menjadi satu-satunya artis senior bolos ke Separuh Akhir Muzik Muzik 36 (SFMM36) menerusi lagu Tanpa Rela bersaing dengan barisan artis generasi baharu.

Lagu itu diumumkan berjaya bersama sembilan lagu lain termasuk Cinta Khayalan (Wany Hasrita), Tetap Aku Cinta (Ara Johari), AEWO (Shiha Zikir dan Noki), dan Pelukan Angkasa (Sekumpulan Orang Gila).

Tidak ketinggalan lagu Goodbye Hello (Syamel dan Ernie Zakri), Durja (Khai Bahar), Sepi (Aina Abdul), Cinta (Marsha Londoh), dan Karma (Kaka Azraff dan Jaz Hayat) untuk pengumuman minggu kedua itu.

Menurut Misha, dia sangat teruja untuk bertanding kali ini kerana lagu Tanpa Rela itu dihasilkan dan ditulis sendiri bersama Sze Wan, Slen Fadzil, serta Zul Husni.

"Sangat terharu berjaya mara kerana perjuangan kali ini berbeza. Ini kerana saya pertandingkan karya sendiri dan dapat juga merasa serta berbesar hati membawakan lagu ciptaan sendiri.

"Saya mahu memberikan persembahan dari hati kelak kepada semua. Saya juga gembira dikelilingi penyanyi muda yang lain di mana kami boleh bertukar-tukar ilmu selain mereka menjadi pencetus untuk saya berusaha keras," katanya.

Penyanyi berpangkalan di Indonesia, Jaz juga turut terharu lagu Karma bersama Kaka berjaya lolos. Menurutnya, dia sangat teruja akhirnya dapat berkongsi pentas dengan Kaka untuk lagu itu.

"Saya memang berharap akan dapat menyanyikan lagu itu bersama Kaka secara langsung. Ini kerana, ia dirakam berasingan dan kami belum berpeluang menyanyikannya bersama secara langsung," katanya.

Minggu lalu, 10 lagu pertama yang lolos SFMM36 adalah Lagu Coretan Pilu nyanyian Datuk Awie, Bujang (Hael Husaini), Mimpi (Haqiem Rusli), Purnama (Naim Daniel), dan  Cinta Jangan Pergi (Azzam Sham).

Turut mara adalah lagu Chikadun (Floor 88), Lenyap (Usop), Penat (Andi Bernadee), Rindu Separuh Nyawa (Naqiu & Vanessa) dan Salahku (Yonnyboii).

Minggu depan, 10 lagu terakhir yang mara bakal diumumkan untuk melengkapkan 30 lagu mara ke SFMM36. Pengumuman itu dibuat secara langsung menerusi program Muzik-Muzik 36 TV3 oleh pengacara Alif Satar dan Sissy Imann.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 2:37 PM