KAKA dan Jaz bergelut di studio merakamkan Karma.
KAKA dan Jaz bergelut di studio merakamkan Karma.
Georgie Joseph

LAGU Karma yang menggandingkan penyanyi, Kaka Azraff dan Jaz Hayat dari Indonesia semakin menjadi siulan ramai selepas kerap berkumandang di kaca TV. Dipilih menjadi runut bunyi (OST) drama Takdir Yang Tertulis itu ternyata benar-benar menyentuh hati ramai.

Mana tidaknya, melodi indah ciptaan Farouk Roman manakala liriknya ditulis Aisha Retno lagu itu cukup sempurna. Ditambah pula dengan paduan suara Kaka dan Jaz yang merdu, membuatkannya lebih indah.

Bagaimanapun, di sebalik penghasilannya tidak semudah disangka. Bukan sekadar merakamnya secara asing-asing, usaha membangkitkan emosi juga cukup mencabar buat mereka berdua.

Itu persamaan yang dihadapi Kaka dan Jaz ketika melunaskan tugasan terbabit. Mereka tidak menafikan lagu Karma berjaya membawa sisi lain dalam diri yang tidak pernah mereka sendiri sangka akan ditonjolkan.

"Untuk meletakkan emosi pada tahap yang tepat, saya memang sangat gementar ketika menjalankan rakamannya. Berkali-kali saya bertanya kepada Farouk untuk menyerap perasaan itu dan disalurkan dalam lagu ini.

"Boleh dikatakan, cabaran terbesarnya adalah pada bahagian itu (emosi) memandangkan saya sendiri tidak pernah membawakan lagu balada bercorak sedemikian. Semestinya saya mahu berikan hasil nyanyian yang sebaik mungkin," kata Kaka.

Menurut Jaz pula, dia akur laras nyanyiannya memang bukan kepada balada menyebabkan dia mengalami kesukaran pada mulanya. Justeru, dia berusaha mendapatkan tunjuk ajar sebaiknya ketika di studio rakaman.

"Memang sangat susah kerana itu pertama kali saya nyanyi lagu balada. Hampir setiap masa saya menyusahkan pengarah vokal demi memastikan emosi itu sampai dalam nyanyian.

"Karma juga adalah lagu pertama yang paling lama pernah saya rakamkan. Mana tidaknya, selama ini lagu saya semuanya yang berentak riang dan santai. Lagu begitu tidak menuntut saya untuk bermain dengan emosi sangat," katanya.

Mengulas jalinan gabungan sulung itu, keduanya jelas sangat teruja apabila dipilih untuk projek terbabit. Lebih penting, kedua mereka saling memuji dan tidak menafikan sebenarnya gembira dengan kerjasama terbabit.

"Ini adalah lagu duet saya yang pertama dan ia membawa makna tersendiri. Apabila mendapat tahu saya digabungkan dengan Kaka, saya tidak sabar kerana sudah kenal dengannya.

"Saya masih ingat menonton dia membuat persembahan di Anugerah Planet Muzik (APM) menyanyikan lagu Bukan Hal Aku. Jadi, saya tiada rasa ragu-ragu untuk menjayakan projek ini dengannya," kata penyanyi kelahiran Brunei itu.

Bagi Kaka pula, dia mengakui mengikuti perjalanan karier Jaz yang mencuri perhatian menerusi lagu Dari Mata tidak lama dulu. Baginya, rasa teruja lebih mengatasi meski itu adalah kali pertama mereka bekerjasama.

"Bila dengar nama Jaz, saya benar-benar teruja. Saya sendiri sangat sukakan dan selalu mendengar lagu-lagunya. Saya juga tertanya-tanya, bagaimana agaknya Jaz ini sebenarnya," katanya.

Bercerita mengenai perkembangan karier masing-masing, Kaka mengakui dia mengimpikan untuk tampil dengan album penuh apalagi kini sudah 10 tahun berada dalam industri. Baginya, impian itu paling dikejarnya buat masa sekarang.

"Semestinya saya ingin lancarkan album penuh, itu impian terbesar saya. Saya berharap impian ini akan dipermudahkan kerana sebagai penyanyi semestinya saya mahu ada album sendiri selepas sekian lama," katanya.

Bagi Jaz pula, dia mengakui menyimpan hasrat terpendam untuk membina nama lebih besar lagi di Malaysia sebagaimana dilakukan Judika dan Afgan. Dia berharap impiannya dikabulkan suatu hari nanti.

"Memang teringin untuk mengikut jejak mereka bersinar di Malaysia. Tapi, saya akur untuk mencapainya kena perlu banyak pendedahan termasuk meluangkan masa yang kerap di Malaysia.

"Saya harap selepas pandemik Covid-19 berakhir, akan ada peluang untuk kembali ke Malaysia berulang kali. Promosi yang berterusan pastinya akan membantu saya untuk meraih lebih peminat dari sana kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 6:20 AM